RIMBA, Isnin 26 Mei 2014 – Majlis Penyerahan Poster Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang ke-53 tahun diteruskan dengan persidangan media mengenai hari kemuncak semasa Perbarisan Raksaksa pada 31 Mei 2014 dan rencana sepanjang sambutan.
Persidangan media ini telah berlangsung di Bilik Alap-Alap, Markas Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).
Para panel yang bersidang pada petang ini ialah Timbalan Pemerintah TUDB, Kolonel (U) Haji Hamzah bin Haji Sahat selaku Timbalan Pengerusi Sambutan HUT ABDB ke-53, Jurucakap Kementerian Pertahanan, Mejar Muhd Kasim bin Haji Awang Yusof selaku Ahli Jawatankuasa Komiti Media dan Pecetakan Sambutan HUT ABDB ke-53 dan Timbalan Pegawai Turus Inspektorat, TUDB, Mejar (U) Pg Muhd Farisan bin Pg Metassan selaku Setiausaha 1 Sambutan HUT ABDB ke-53.
Timbalan Pengerusi Sambutan HUT ABDB ke-53 menerangkan bahawa sambutan Hari Ulang Tahun ABDB kali ini diselanggarakan oleh Tentera Udara Diraja Brunei. Beliau menerangkan susunan atucara yang akan berlangsung semasa Perbarisan Raksaksa, aktiviti-aktiviti yang akan terjadi pada hari tersebut dan perkara-perkara yang melibatkan orang ramai nanti.
Di antara aktiviti yang telah direncanakan seperti acara ketenteraan, keagamaan, kemasyarakatan dan aktiviti sukan. Acara kemuncak adalah perbarisan raksasa di Pangkalan Udara Rimba. Di samping itu, aktiviti-aktiviti pameran statik, acara arena, Bazaar dan ‘fun fair’ akan dibukakan kepada orang awam sambil mengambil peluang melihat keupayaan-keupayaan tentera yang baru seperti pesawat S70i serta perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Tema sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke-53 pada tahun ini adalah’Generasi ABDB Berwawasan’. Tema ini selaras dengan tema Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam iaitu ”Generasi Berwawasan’.
