BELAIT, Jumaat  18 Januari 2013 – Majlis pengislaman bagi 21594 Sld Nurrafidah binte Kipli, salah seorang anggota ABDB bertugas di Bolkiah Garison dan adiknya Shahfiee bin Kipli telah berlangsung di Kampong Sungai Mau, Kuala Belait.

Mereka melafazkan pengakuan masuk Islam dihadapan Pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan memilih nama Islamnya sebagai Nurrafidah binte Kipli dan adiknya kini dikenali sebagai Muhammad Shahfiee bin Kipli.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. Turut hadir ialah Timbalan Pemerintah ABDB,  Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Brigadier Jeneral Dato Seri Pahlawan Mohd Tawih bin Abdullah, Awang Haji Haris bin Haji Othman, Pegawai Daerah Belait, Hajah Siti Hajijah binti Haji Musang, Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Pegawai-pegawai Kanan ABDB dan Pusat Dakwah Islamiah serta ahli-ahli keluarga.

Majlis pengislaman dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, diikuti dengan pengakuan lafaz masuk Islam. Ini diikuti dengan Zikir Marhaban serta bacaan doa kesyukuran.