BOLKIAH GARISON, Rabu, 23 Januari 2012 – Acara Penutup Majlis Dikir Maulud telah diadakan di Surau Kementerian Pertahanan sempena memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘alihi Wa Salam. Acara ini menandakan penutup Majlis Dikir Maulud yang telah berlangsung setiap malam selama 12 malam berturut-turut di setiap Surau Perkhemahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), bermula dari 12 Januari 2013M bersamaan 1 Rabiulawal 1434H.
Hadir ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku tetamu kehormat. Turut hadir bagi menyemarakkan lagi majlis tersebut adalah Setiausaha Tetap, Timbalan Pemerintah ABDB, Timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah-Pengarah Tentera dan Awam, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibaca oleh Ustaz Awang Haji Ariffin bin Haji Tuah, seterusnya diikuti dengan sembahyang Fardhu Maghrib dan Isyak berjemaah. Majlis diteruskan dengan dikir Marhaban dan diserikan dengan ceramah khas disampaikan oleh Ustaz Haji Fansuri Sharimi bin Mohd Ali, penceramah jemputan dari Pusat Dakwah Islamiah Brunei. Acara yang sama juga diadakan secara serentak diseluruh Surau-Surau di Perkhemahan ABDB.


