REPUBLIK ISLAM IRAN, Isnin 28 Januari 2013
–   Angkatan Bersenjata Diraja Brunei melalui SSjn (L) Aliuddin bin Haji Sarbini telah berjaya meraih tempat kedua dengan memperolehi markah sebanyak 81.297 peratus bagi kategori Tilawah (Tarannum al-Quran) dalam Pertandingan Tilawah dan Menghafal Al-Quran Tentera Islam Antarabangsa ke Republik Islam Iran. Sebanyak 16 buah negara menyertai bagi kategori ini, tempat pertama disandang oleh Republik Islam Iran, tempat kedua dari Negara Brunei Darussalam, tempat ketiga dari Malaysia, tempat keempat dari Palestin dan tempat kelima dari Afghanistan.

ABDB telah menghantar 2 penyertaan bagi kategori hafalan 5 juzuk Al-Quran diwakili oleh LKpl Pg Kamarul Sarip bin Pg Haji Seripudin anggota daripada Jabatan Agama ABDB dan bagi kategori Tilawah diwakili oleh SSjn (L) Aliuddin bin Haji Sarbini daripada Tentera Laut Diraja Brunei.

Rombongan ABDB telah selamat kembali ke tanahair. Rombongan yang diketuai oleh Kapten Ariffin bin Amit, Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB telah dialu-alukan ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei oleh Pemangku Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Brigadier Jeneral Dato Seri Pahlawan Mohd Tawih bin Abdullah. Majlis di ikuti dengan bacaan doa selamat oleh Lt Abdul Mujib bin Japar, Pegawai Operasi Jabatan Agama ABDB.Keputusan keseluruhan bagi kesemua kategori diumumkan dalam Majlis Penutup yang diadakan di Pusat Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB). Hadiah-hadiah disampaikan oleh Presiden Republik Islam Iran, Dr. Mahmmod Ahmaddinejad dimajlis tersebut. Turut hadir dalam majlis Penutup tersebut adalah pegawai dan kakitangan Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Islam Iran. 

Keputusan bagi kesemua kategori yang dipertandingkan adalah seperti berikut:
Hafalan 30 juzuk Al-Quran:
1. Republik Islam Iran
2. Pakistan
3. Sudan
4. Guinea
5. Jordan

Hafalan 15 Juzuk Al-Quran:
1. Sudan
2. Jordan
3. Pakistan
4. Republik Islan Iran
5. Afghanistan

Hafalan 5 Juzuk Al-Quran:
1. Republik Islam Iran
2. Oman
3. Bangladesh
4. Pakistan
5. Jordan