BERAKAS GARRISON, Jumaat 29 Nov 2013 – Seorang Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dari Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei telah melafazkan dua kalimah syahadah dan ikrar pengakuan pengislaman iaitu 956 Leftenan Zulkahiril bin Mohd Daud di Surau Perkhemahan Berakas Garison.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis Ialah Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Wakil Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Ketua Kampung Lambak Kiri, Pegawai-pegawai Kanan ABDB dan Pusat Dakwah Islamiah dan para jemputan serta kaum keluarga.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh 18179 Sld Khairul Ariffin bin Rosli, anggota dari Kompeni ‘C’ Batalion Pertama, Tentera Darat Diraja Brunei. Pengakuan lafaz dan ikrar pengislaman Leftenan Zulkahiril bin Mohd Daud dilaksanakan di hadapan Pegawai Pengislaman Pusat Dakwah Islamiah, Daerah Brunei dan Muara. Laungan Dikir Marhaban serta taburan bunga rampai oleh Tetamu Kehormat majlis serta para jemputan memeriahkan lagi acara pada petang itu. Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada yang diraikan. Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Kapten Ariffin Bin Amit, Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB.
Leftenan Zulkahiril bin Mohd Daud telah memilih nama yang sama sebagai nama Islam beliau. Beliau bertugas sebagai Ketua Platun 8 Kompeni ‘C’ Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei.
Mengikut rangka statistik, ini adalah merupakan majlis pengislaman yang ke 10 bagi anggota ABDB dari sepanjang tahun 2013.
Semoga dengan adanya majlis ini akan dapat menyebarkan lagi syiar Islam dan menyerlahkan lagi cahaya keimanan khususnya di kalangan warga ABDB.