BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat 15 Nov 2013– Kementerian Pertahanan telah memberikan bantuan bagi penghantaran misi bantuan kemanusiaan bagi mangsa taufan Haiyan di Filipina dengan menggunakan pengangkutan udara dan laut Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pagi tadi. Pengangkutan yang digunakan ialah pesawat CN235 Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan kapal peronda KDB Kelas Darussalam Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

Misi pengangkutan bantuan kemanusiaan yang pertama ini diketuai oleh Lt Kol (L) Spry bin Seruji sebagai Pegawai Pemerintah Penyelaras.  

Penghantaran bantuan kemanusiaan ini berupa barang-barang keperluan asas seperti air botol mineral, makanan kering, makanan dalam tin, beras, susu formula, alat kelengkapan perubatan, ubat-ubatan, pakaian, selimut dan tuala yang disumbangkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, ABDB, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), orang ramai, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan.

ABDB telah menghulurkan sumbangan seperti 500 kotak air botol mineral, 5000 bungkus compo ration, 175 kotak tablet minyak bahan api Hexamine untuk memasak dan juga 1000 helai selimut.

Tugas pengangkutan bertolak ke Tacloban menggunakan pesawat CN235 TUDB dari Pangkalan TUDB, Rimba pada jam 8.30 pagi tadi. Sementara pengangkutan yang menggunakan kapal peronda KDB Kelas DARUSSALAM telah bertolak pada jam 10.30 pagi dari Pangkalan TLDB, Muara.

Penerbangan pesawat CN235 bersama krew dari anggota No. 5 Skuadron Cawangan Gerakan  TUDB ini membawa sebanyak satu ton alat kelengkapan perubatan dan ubat-ubatan. Turut serta didalam misi penghantaran ini ialah Pengarah NDMC, Kolonel (B) Pg Dato Paduka Haji Rosli bin Pg Haji Chuchu, beberapa orang pegawai ABDB dan NDMC serta wakil media dari Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri.

Manakala kapal peronda KDB Darussalam yang diketuai oleh kapten kapal 511 Mejar (L) Khairil bin Hj Abdul Rahman membawa penghantaran bantuan kemanusiaan disertai oleh pegawai dan anggota tentera ABDB dan Kementerian Pertahanan yang terdiri dari 13 orang pegawai, 43 anak buah kapal, 6 orang penyelam, seorang doktor, seorang anggota medik, seorang anggota dari Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT) dan seorang anggota dari Unit Perhubungan Awam.

Penghantaran barang-barang bantuan yang seterusnya dengan menggunakan pesawat CN235 TUDB dijangka akan dibuat pada16, 19 dan 20 November ini.