BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat 1 Mac 2013 – Majlis pengislaman bagi dua Anggota Askar Wanita Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah berlangsung di dua tempat berasingan.

Majlis pengislaman bagi 20823 PW2 Rosni Binti Burut telah pun berlangsung di rumah kediaman Awang Supian Bin Haji Jumat yang bertempat di No 53 Jalan Mulaut Tanjung Nangka. Hadir dimajlis tersebut selaku Tetamu Kehormat  ialah Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersama, Pegawai Daerah Brunei Dan Muara, Ketua Kampung Mulaut, Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Pegawai-Pegawai Kanan ABDB, Keluarga serta jemputan. Manakala majlis pengislaman bagi 21044 Ssjn Ramlah Binti Marikan diadakan di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Brijadier Jeneral Dato Seri Pahlawan Mohd Tawih Bin Abdullah, Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Juga turut hadir Pegawai Pusat Dakwah Islamiah,  Pengarah-Pengarah Tentera dan Awam , Pegawai Kanan serta pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan dan Bolkiah Garison serta keluarga dan para jemputan.

Lafaz ikrar pengislaman dihadapan Pegawai Pengislaman Pusat Dakwah Islamiah daerah Brunei Muara. Dan seterusnya bacaan doa selamat pengislaman yang dibacakan oleh pegawai dari Jabatan Agama ABDB. Laungan dikir marhaban serta taburan bunga rampai keatas anggota yang diraikan turut menyerikan lagi majlis. Penyampaian cenderahati ABDB turut diserahkan kepada anggota yang diraikan oleh tetamu kehormat dikedua-dua majlis.

PW2 Rosni Binti Burut telah memilih nama Dayang Nurfarzana Binti Abdullah Burut sebagai nama islam beliau manakala Ssjn Ramlah Binti Marikan kini dikenali  sebagai Dayang Ramlah Binti Abdullah Marikan. Mengikut  rangka yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama ABDB (JAMAA’AT), Majlis Pengislaman yang di adakan pada hari ini merupakan majlis pengislaman yang  ketiga bagi tahun 2013 bermula seawal Januari yang lalu yang mana ketiga-tiganya melibatkan pengislaman anggota Askar Wanita ABDB.