TUTONG, Jumaat 8 Mac 2013 – Cahaya islam bersinar lagi kalangan warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei apabila sebuah keluarga berbangsa dusun telah melafazkan syahadah dan ikrar pengakuan pengislaman. 8966 PW1 Silim Bin Kilar telahpun memeluk agama islam berserta dengan isteri serta lapan anak beliau. 8966 PW1 Silim Bin Kilar pada masa ini bertugas di Sekolah Infantri, Institut Latihan ABDB Penanjong Garison.
Majlis pengislaman tersebut berlangsung dirumah kediaman beliau di No 18 Simpang 860 Kampung Kiudang Jalan Kuala Abang Tutong. Hadir selaku tetamu kehormat dimajlis pengislaman tersebut ialah Yang Dimuliakan Pehin Dato Laila Raja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi Bin Haji Yussof, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Turut hadir ialah Yang Mulia Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pegawai Daerah Tutong, Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Komandan Institut Latihan ABDB, Pegawai Pusat Dakwah Islamiah daerah Tutong dan para jemputan serta kaum keluarga.
Majlis pengakuan lafaz dan ikrar pengislaman dihadapan Pegawai Pengislaman Pusat Dakwah Islamiah Daerah Tutong. Laungan Dikir Marhaban serta taburan bunga rampai memeriahkan lagi majlis tersebut. Cenderahati ABDB turut disampaikan oleh Pemerintah ABDB.
8966 PW1 Silim Bin Kilar telah memilih Muhammad Syalim Bin Abdullah Kilar sebagai nama islam beliau. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama ABDB majlis ini merupakan majlis pengislaman yang ke empat berlangsung bermula januari 2013 yang lalu. mudah-mudahan dengan adanya majlis ini akan dapat menyebarkan lagi syiar dakwah islamiah dikalangan warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

