PENANJONG GARISON, Jumaat 22 Mac 2013 – Majlis penutup bagi kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pegawai Waran Siri 2/2012 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah diadakan di Mess Pegawai Waran, Staf Sarjan dan Sarjan.
Tetamu Kehormat ialah Lt Kolonel Hasmee bin Haji Abd Wahab, Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan PTB-PTB Kanan dari pelbagai unit Angkatan Tentera dan Jabatanarah di Kementerian Pertahanan.
Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pagawai Waran telah bermula pada 14 Januari 2013 hingga 22 Mac 2013 yang telah dihadiri oleh 24 orang peserta kursus terdiri daripada unit-unit di dalam ABDB. Adapun objektif kursus adalah untuk menerapkan keyakinan dan kemampuan serta kebolehan di dalam merancang dan mengurus hal-hal pentadbiran berasaskan prinsip-prinsip kepimpinan dan pengurusan ke arah pembentukan seorang PTB Kanan yang berkualiti tinggi.
Di majlis itu juga, Tetamu Kehormat dalam ucapannya turut menekankan mengenai salah satu nilai tambah kursus adalah untuk melatih para peserta kursus terhadap kepentingan untuk memahami semua tanggungjawab dari segi kepimpinan dan pengurusan ke mencapai hasrat menjadikan seorang pemimpin yang responsif, proaktif dan mampu berfikir dengan fikiran yang bernas.
Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat yang diselajurkan dengan penyampaian anugerah-anugerah cemerlang dalam kategori masing-masing. 10159 PW2 (U) Malik bin Haji Kahar dari Tentera Udara Diraja Brunei telah dipilih sebagai penuntut terbaik keseluruhan sekaligus memenangi anugerah penuntut terbaik di bidang akademik manakala 10895 SSjn Siman bin Lamit dari Rejimen Pasukan Khas dipilih sebagai penuntut terbaik praktikal.

