TUTONG, Jumaat 29 Mac 2013 – Cahaya islam bersinar lagi kalangan warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei apabila seorang lagi anggota berbangsa dusun telah melafazkan syahadah dan ikrar pengakuan pengislaman. 19371 Soldadu Awg Nazrul Firdaus bin Judi yang bertugas di Pejabat Pengambilan, Jabatanarah Keanggotaan, Kementerian Pertahanan telahpun memeluk agama islam.
Majlis pengislaman berlangsung dirumah kediaman ibu bapa beliau di Perpindahan Bukit Beruang, Tutong. Hadir selaku tetamu kehormat di majlis pengislaman ialah Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemerintah ABDB.
Turut hadir ialah Timbalan Pemerintah ABDB, Pemangku Pengarah Keanggotaan, Jabatanarah Keanggotaan Kementerian Pertahanan, Ketua Kampung Perpindahan Bukit Beruang, Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai Pusat Dakwah Islamiah daerah Tutong dan para jemputan serta kaum keluarga.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran iaitu Surah Ali Imran bermula ayat 16 sehingga 23 yang dibacakan oleh Koperal Idriyani bin Lefmim dari Pejabat Latihan, Jabatanarah Keanggotaan, Kementerian Pertahanan. Seterusnya majlis pengakuan lafaz dan ikrar pengislaman dihadapan Pegawai Pengislaman Pusat Dakwah Islamiah Daerah Tutong. Laungan Dikir Marhaban serta taburan bunga rampai memeriahkan lagi majlis tersebut. Cenderahati ABDB turut disampaikan oleh Pemerintah ABDB. Bagi memberkati majlis tersebut doa selamat dibacakan oleh Kapten Ariffin Bin Amit, Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB.
Soldadu Awg Nazrul Firdaus bin Judi telah memilih nama Islam beliau iaitu Mohammad Nazrul Firdaus bin Judi. Ini merupakan majlis pengislaman yang ke lima berlangsung bermula Januari 2013 mengikut rangka statistik dan semoga dengan adanya majlis ini akan dapat menyebarkan lagi syiar dakwah islamiah dan seterusnya akan terpancar lagi sinar cahaya Islam dikalangan warga ABDB.




