BOLKIAH GARISON, Isnin 1 April 2013 – Upacara Perbarisan bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-7 Tahun telah pun berlangsung di Padang Kawad ‘B’ Bolkiah Garison. Hadir selaku tetamu Kehormat di upacara perbarisan ialah Lt Kol Haji Abdul Ghani Bin Haji Abdullah, Ketua Inspektorat, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Turut hadir pada acara tersebut ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pegawai-Pegawai Turus dan Adjutan Angkatan Tentera, para jemputan, PTB Kanan dan rendah.
Bagi memohon keberkatan, upacara perbarisan tersebut dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Kpl Harun Al-Rashid bin Hj Mohd Hussain, diikuti dengan ucapan perutusan daripada Tetamu Kehormat. Antara petikan ucapan perutusan yang disampaikan menyentuh kepada hasrat peningkatan dan perkembangan jabatan ini apatah lagi di dalam menjangkau usia kematangannya 7 tahun. Beliau juga berpendapat, di antara perkara yang perlu diambil perhatian khususnya bagi para pegawai serta anggota jabatan ini di dalam meningkatkan tahap profesionalisma serta kemantapan tahap kerja ialah dengan melihat ciri-ciri modal insan yang mana ianya merangkumi aspek pendidikan dan disiplin yang mantap.
Selain daripada itu, beliau juga turut berharap agar kepimpinan jabatan ini mampu untuk merealisasikan diri selaku ‘role model’ sebagai satu ikutan kepada warga ABDB yang lain. Beliau juga menasihati agar memantau usaha-usaha yang sedang dijalankan untuk memastikan keberkesanannya terutama dalam penambahbaikan prosedur-prosedur yang sedia ada bagi memberi impak yang besar dan kesan yang jelas dan menjadikan perkhidmatan JAMAAT yang lebih cekap dan cemerlang.
Bagi memberkati upacara perbarisan tersebut, doa selamat dibacakan oleh Kpl Harun Al-Rashid bin Hj Mohd Hussain. Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telahpun ditubuhkan pada 1 April 2006 dan kini menjangkau usianya 7 tahun. Pelbagai peningkatan khususnya faktor kerohanian di kalangan tentera dan awam kian ketara. Jabatan ini berharap dengan menjangkau usianya yang semakin matang ini akan dapat menanai amanah serta tanggungjawab yang diberikan khususnya di dalam menyebarkan lagi Dakwah Islamiah.