BOLKIAH GARISON, Jumaat, 28 Jun 2013– Seramai 15 orang peserta mengikuti Program Titian Iman bagi saudara Baru Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bagi Tahun 2012-2013 anjuran Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemerintah ABDB. Turut hadir memeriahkan majlis Pegawai-pegawai kanan, Pegawai-pegawai, PTB- PTB Kanan dan Rendah serta peserta kursus.
Majlis penutup Program Titian Iman dimeriahkan dengan persembahan peserta program yang mengandungi Bacaan Surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas serta Bacaan Tahiyyat Akhir yang mana kesemua bacaan ini adalah bacaan asas yang perlu diketahui khususnya bagi saudara-saudara baru terutamanya dalam mendirikan Sembahyang Fardhu lima waktu dalam sehari.
Majlis diteruskan dengan ucapan tetamu kehormat majlis dan perasmian penutup Program Titian Iman serta penyampaian sijil kepada peserta-peserta progam. Dalam ucapan tersebut, beliau menyeru kepada peserta kursus agar tidak merasa sebarang kekurangan kerana saudara baru amat beruntung dengan menerima pancaran cahaya Islam yang berbeza dari orang yang sedia beragama Islam dari lahirnya.
Program yang diadakan selama lima hari bermula 24 Jun hingga 28 Jun 2013 ini bertujuan memberikan kesedaran dan pendedahan asas Islam khususnya aqidah dan ibadat terhadap saudara baru ABDB. Mereka juga didedahkan dengan lawatan ke Jabatan Mufti Kerajaan dan Pusat Dakwah Islamiyyah. Insya Allah, semoga program ini dapat dimanfaatkan serta memantapkan lagi sinar Islam dam menyalurkan perkembangan rohani saudara- saudara baru khususnya anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan sentiasa memupuk kecintaan dan takwa kepada Allah Wa Ta’ala.



