BANDAR SERI BEGAWAN Selasa, 30 Julai 2013  -Bengkel Kepimpinan Islam dan Jati Diri khusus bagi Pegawai berpangkat Mejar ke bawah telah pun diadakan di dua tempat yang berasingan iaitu di Dewan Pahlawan Berakas Garison khusus bagi Pegawai-Pegawai Lelaki  dan bagi Pegawai-Pegawai  Wanita mengambil tempat  di Bilik Kuliah Pusat Optima Kecergasan(POC), Bolkiah Garison. Peserta-peserta  bengkel   terdiri dari Pegawai-Pegawai berpangkat Mejar kebawah dari unit-unit Angkatan Tentera.

Hadir selaku tetamu kehormat di Dewan Pahlawan Berakas Garison,  ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Brigadier Jeneral Dato Seri Pahlawan Mohd Tawih Bin Abdullah, Pemangku Pemerintah ABDB. Manakala Lt Kol Hajah Hashimah Binti Haji Abu Bakar tetamu kehormat bagi bengkel Kepimpinan Islam dan  Jati Diri Pegawai-pegawai Wanita yang di bilik Kuliah Pusat Optima Kecergasan (POC) Bolkiah Garison.

Bengkel dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pegawai Pengendali  bengkel  dan seterusnya Sesi Pembentangan Bengkel yang disampaikan oleh salah seorang Pegawai  dan Staf dari Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT).

Sesi pembentangan pada pagi tersebut dibahagikan kepada  dua sesi pembentangan iaitu sesi pertama ialah pembentangan “multimedia jati diri menyakini pencipta  mengasihi kekasihnya” manakala pada sesi kedua ialah program “pembersihan jiwa dan rohani individu”.

Bengkel Kepimpinan Islam dan Jati Diri ini merupakan salah satu aktiviti ihya ramadhan tahunan yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA’AT)  dengan kerjasama Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT). Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk menerapkan sifat-sifat kerohanian dan jati diri keislaman khususnya dikalangan pegawai-pegawai selaku pemimpin didalam sesebuah organisasi.  Bengkel yang sama juga akan diteruskan pada hari berikutnya  khusus bagi PTB kanan berpangkat Staff Sarjan dan Pegawai Waran.