BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 2 Sept 2013 – Seramai 20 orang Pegawai Muda (Junior Officer) dari 10 negara ASEAN telah menghadiri The 7th Junior Officer Interaction Programme (JOIP) yang bermula pada 29 Ogos hingga 2 September 2013.

Program ini adalah salah satu inisiatif penting diperingkat Tentera Darat ASEAN yang mana telah diusulkan semasa ACAMM sebelum ini. Setiap Tentera Darat negara-negara ASEAN masing-masing menghantar dua orang Pegawai Muda termasuk dua orang Pegawai Muda daripada Tentera Darat Diraja Brunei.

Pada kali ini TDDB telah diberi penghormatan selaku Tuan Rumah. Ianya bertujuan untuk menjalinkan persahabatan, menambah pengetahuan dan juga mengenal budaya negara-negara ASEAN yang mengikuti program ini.

Acara dimulakan dengan Majlis Resepsi dan telah diadakan pada 29 Ogos 2013 bertempat di Hotel Lounge Centre Point Gadong, dihos oleh Lt Kol Tarip bin Karia, Ketua Inspektorat TDDB selaku Koordinator JOIP kali ini.

Peserta program kali ini berkesempatan mengunjungi beberapa institusi latihan ABDB seperti Sekolah Pegawai Kadet dan Akademi Pertahanan serta Muzium ABDB. Peserta-peserta JOIP juga diberi peluang melawat tempat-tempat tarikan pelancongan di Brunei Darussalam seperti Muzium Negara di Kota Batu, Muzium Teknologi, Kg Sungai Matan, Masjid SOAS dan Alat-alat Kebesaran Diraja. Selain itu, mereka juga berkesempatan mengadakan aktiviti berkayak bertempat di Pusat Perairan ABDB, Serasa.

Disamping itu juga yang menjadi tarikan bagi program pada tahun ini adalah peserta-peserta JOIP diberikan kesempatan untuk beramah mesra dengan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam semasa menghadiri Mes Terbuka di Mes Pegawai Perkhemahan Lumut sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari Jumaat, 30 Ogos 2013.

Program JOIP yang berjalan selama 5 hari ini berakhir dengan acara Malam Perpisahan yang dikendalikan di Mes Pegawai Berakas Garison dan hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Lt Kol Haji Muhd Haszaimi bin Bol Hassan, Ketua Staf TDDB.