BERAKAS GARISON, Jumaat 13 Sept 2013 – Seramai 27 orang bakal-bakal Haji dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Kementerian Pertahanan telah diraikan pada pagi ini dalam satu majlis yang diberi nama ‘Jiwa Murni’.Majlis ini telah diadakan di surau Berakas Garison. Tetamu Kehormat majlis ialah Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat, Timbalan Menteri Pertahanan.
‘Jiwa murni’ adalah salah satu aktiviti tahunan berunsur keugamaan diungkayahkan oleh ABDB bagi anggota tentera dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan yang akan mengerjakan ibadah Haji bersama para jemaah Haji yang lain di Negara ini. Bakal-bakal jemaah Haji seramai 27 orang tersebut terdiri daripada 7 orang anggota tentera ABDB, seorang daripada Pasukan Simpanan Gurkha, 2 orang kakitangan awam yang berkhidmat dengan Kementerian Pertahanan dan 5 orang bekas anggota ABDB. Manakala selebihnya ialah ahli keluarga yang turut serta dalam rombongan tersebut.
Majlis ini telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan Surah Yassin dan seterusnya diiringi dengan bacaan Doa Khusus Pemergian Jemaah Haji.
Ucapan penghargaan telah disampaikan oleh Pengerusi Majlis, Leftenan Kolonel Zahrin bin Haji Zunaidi. Dalam ucapan tersebut beliau mengatakan, ‘mengerjakan haji dengan berpandukan ilmu akan meraihkan kebaikan yang tidak ternilai’. Oleh itu bakal-bakal haji juga disarankan untuk membuat persediaan secara peribadi bagi pengisian ibadah yang positif dan makruf serta amal-amal soleh yang semampu-mampunya ketika berada di tanah suci nanti.
Turut hadir ialah Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin Pemerintah ABDB;, Haji Azhar bin Haji Ahmad, Pemangku Setiausaha Tetap Pentadbiran dan Kewangan dan Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Brigadier Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Timbalan Pemerintah ABDB.
Bakal-bakal jemaah haji ini juga menerima sumbangan derma berupa kewangan daripada Tetamu Kehormat hasil kutipan derma daripada semua peringkat anggota ABDB dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan berserta dengan pakej ubat-ubatan dan buku Himpunan Doa.