BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 5 Okt 2013 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada seramai 227 penerima sempena Hari Keputeraan baginda ke-67, di Istana Nurul Iman, di sini.

Berangkat sama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Juga berangkat dan hadir pada istiadat tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Pengiran-Pengiran Peranakan, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Manteri-Manteri Pendalaman, para perwakilan negara sahabat, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan.

Mendahului istiadat pengurniaan ialah Pengurniaan Bintang Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B) kepada seramai 47 penerima yang didahului oleh Yang Berhormat Awang Haji A. Ahmad bin Husain.

Sementara penerima lain terdiri dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan, Kementerian Perhubungan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan pihak swasta.

Setelah itu, istiadat diikuti dengan Pengurniaan Bintang Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Keempat (S.U.B) kepada seramai lapan penerima dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang didahului oleh Awang Shafrin bin Mohd. Noor.

Manakala seramai 164 penerima dikurniakan Bintang Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B) yang didahului oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Al-Mokhtar bin Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.