BOLKIAH GARRISON, Jumaat 18 Okt 2013 – Majlis Penutup Kursus Eksplorasi dan Motivasi Kendiri bagi peserta-peserta Kursus ADPET Siri ke-5 dari TUDB dan M2 Weapon Engineer & M2 Marine Mechanic dari TLDB, telah diadakan di Pusat Kaunseling ABDB, Bolkiah Garison.
Seramai 20 anggota telah menghadiri kursus berkenaan yang terdiri daripada 16 anggota TLDB dan 4 anggota TUDB selama seminggu bermula pada 14 Oktober 2013.
Selama menjalani kursus, para peserta telah didedahkan dengan fungsi dan peranan PK ABDB, sedikit pengetahuan dan kemahiran asas kaunseling dengan menggunakan pendekatan “Adventure-Based Counseling” (ABC) iaitu satu konsep kaunseling yang bertujuan untuk menimbulkan celik akal atau insight di kalangan peserta kursus ke arah perubahan (transformasi) diri yang lebih baik. Atas dasar inilah para peserta kursus turut didedahkan dengan “Animal-Assisted Therapy” bertempat di Kelab Menunggang Kuda ABDB, Berakas Garison. Kegiatan dan interaksi di sini memberikan satu pengalaman dan perspektif baharu serta suntikan semangat yang berharga bagi peserta kursus.
Para peserta juga berpeluang untuk meneruskan pembelajaran yang berasaskan pengembaraan (ABC) di Tasek Serubing, Subok dan Taman Rekreasi Hutan Berakas. Di kedua-dua tempat ini para peserta telah berkesempatan untuk mengikuti beberapa permainan kaunseling yang menggalakkan para peserta untuk berfikir dengan pantas dan kreatif sebelum mengambil sebarang tindakan. Permainan ini telah berjaya membuka minda para peserta untuk melihat cabaran hidup sehari-hari dengan cara yang lebih produktif dan berkesan.
Di penghujung kursus, para peserta dikehendaki untuk membuat pembentangan berhubung kait dengan aspek-aspek sikap dan tingkah laku, minda dan emosi anggota. Perbincangan dalam perkara ini sedikit sebanyak telah mendorong semangat, kecekalan, setia kawan, keyakinan diri, keberanian, dan rasa tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan organisasi. Melalui kursus ini, para peserta dapat memahami kekuatan dan kelemahan diri masing-masing, mendorong diri sendiri dan rakan sekerja dan seterusnya meningkatkan morale dalam melaksanakan tugasan ketenteraan.
