SG AKAR KEM, Jumaat, 01 Nov 2013 – Majlis Penutup Tahsinul Fikrah Bagi Pegawai-pegawai Berpangkat Mejar Ke Bawah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) anjuran Jabatan Agama ABDB (JAMAAT) telah berlangsung di Maktab Turus Akademi Pertahanan ABDB pagi ini.Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Mohd Tawih bin Abdullah, Timbalan Pemerintah ABDB. Turut hadir di majlis tersebut ialah Komandan Akademi Pertahanan, Pegawai-Pegawai Kanan, pegawai-pegawai serta para peserta program.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah At-Tahriim oleh salah seorang peserta program iaitu 861 Lt Nor Mohammad Saufi @ Nikmat bin Ahmad dan seterusnya ucapan daripada Pegawai Penyelaras Program. Tetamu Kehormat majlis berkesudian untuk meberikan sepatah dua kata dan seterusnya menutup program tersebut serta penyampaian sijil kepada para peserta program.
Dalam ucapan tersebut, Timbalan Pemerintah ABDB ada menyebutkan bahawa selaku pegawai serta anggota tentera di dalam ABDB, pembinaan rumahtangga yang harmoni dan bahagia sedikit sebanyak memberi kesan dalam mempengaruhi perlaksanaan tugas dan tanggungjawab sebagai warga ABDB.
Yang Dimuliakan Pehin juga menyentuh bahawa pegawai dan pemimpin juga seharusnya peka akan permasalahan yang timbul dalam lingkungan rumahtangga anggota-anggota ABDB pada masa ini kerana bukan sahaja pemimpin itu memastikan segala arahan dan perintah itu dilaksanakan, malah untuk menjaga kebajikan para anggota bawahan termasuklah mengambil tahu tentang kebajikan keluarga mereka.
Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh 807 Lt Pg Khairuddin bin Pg Haji Tali.

