TUTONG, Juma’at 15 Januari 2016 – Seorang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dari Unit Khidmat Pergigian, Khidmat Bantuan Kombat, Tentera Darat Diraja Brunei (KBK TDDB) iaitu 20890 SSjn Rabiah binti Limon, beserta keluarga beliau telah melafazkan dua kalimah syahadah dan ikrar pengakuan pengislamannya hari ini.

Majlis berlangsung di rumah kediaman abang beliau iaitu SSjn (B) Muhd Yusri Farid bin Abdullah Limon di Kg Penanjong, Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd Tawih bin Abdullah, Pemerintah ABDB.

Turut hadir bagi menyerikan lagi majlis tersebut ialah Pemerintah TDDB, Ketua Kampung Penanjong, Pegawai-pegawai kanan ABDB, Pegawai-pegawai dari Pusat Da’wah Islamiah Daerah Tutong dan keluarga.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an dan diteruskan dengan lafaz syahadah dan ikrar pengislaman SSjn Rabiah binti Limon berserta keluarga di hadapan Pegawai Pengislaman Pusat Da’wah Islamiah.

Laungan Dikir Marhaban, taburan bunga rampai serta penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh Yang Dimuliakan tetamu kehormat majlis serta para jemputan yang hadir bagi memeriahkan lagi acara yang berkebajikan ini.

Bagi memberkati majlis yang penuh kerahmatan ini, doa selamat dibacakan oleh Lt Narulismandy bin Haji Samaih, Pegawai Tadbir Jabatan Agama ABDB.

Majlis Pengislaman kali ini merupakan kali yang pertama bagi tahun ini dan yang ke 99 sejak tahun 2006. Ini menunjukkan bahawa cahaya dan syiar agama Islam semakin bersinar dan berkembang luas khususnya di kalangan warga ABDB.