BOLKIAH GARISON, Khamis, 7 Januari 2016 – Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pagi ini telah menerima rombongan lawatan seramai 24 orang pegawai-pegawai yang baru berkhidmat di Jabatan Radio Television Brunei (RTB), Jabatan Perdana Menteri.
Lawatan ini bertujuan untuk mendedahkan pegawai-pegawai tersebut mengenali lebih dekat peranan Kementerian Pertahanan dan ABDB sebagai elemen penting dalam komponen penerbitan dan penyelidikan mereka selain mengeratkan lagi hubungan silaturahim.
Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Siti Liyana binte Haji Suhaimi, Penerbit Kanan RTB telah dialu-alukan oleh Jurucakap Kementerian Pertahanan, Lt Kol Hajah Suriani binte Haji Junaidi.
Mereka telah diberikan taklimat dan penerangan mengenai organisasi, misi dan visi Kementerian Pertahanan dan ABDB dan seterusnya menyaksikan tayangan video latihan dan eksesais ABDB. Taklimat di akhiri dengan sesi soal jawab.
Selepas sesi taklimat, rombongan telah dibawa untuk melawat Muzium ABDB untuk mengenal lebih dekat sejarah dan penubuhan serta perkembangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Seterusnya rombongan telah mengadakan lawatan ke Tentera laut Diraja Brunei (TLDB), Perkhemahan Muara. Sesi taklimat dan penerangan telah diadakan di atas kapal KDB Darut Taqwa dan disampaikan oleh Komandar Khairil bin Haji Abdul Rahman, TLDB, Pegawai Pemerintah KDB Darut Taqwa.
Rombongan jua berpeluang untuk meninjau lebih dekat kapal KDB Darut Taqwa dan menyaksikan beberapa demonstrasi.



