BANDUNG, INDONESIA, Isnin 21 Disember 2015 – Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Pg Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pg Haji Mahmud telah menghadiri program interaksi dua hala iaitu Senior Interaction Program (SIP) antara TDDB dan Tentara Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) di Bandung, Republik Indonesia bermula pada 21 Disember hingga 23 Disember 2015 yang lalu. Beliau diiringi oleh isteri Datin Rasidah binti Haji Brahim serta beberapa Pegawai-pegawai Kanan TDDB berserta isteri masing-masing.

Diantara program interaksi bagi kedua-dua angkatan darat ini termasuk Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Jenderal TNI Mulyono, Kepala Staf TNI Angkatan Darat (KASAD) dan Ibu Sita Mulyono, perlawanan golf, lawatan ke Detasmen Kavileri Kuda (Denkavkud) Pusat Kesenjataan Kavelri Komando Pembina Doktrin, Pendidikan dan Latihan (Pussenkav Kodiklat) TNI AD dan ke PT Pindad, Bandung.

Semasa mengadakan lawatan ke Denkavkud Pussenkav Kodiklat TNI AD, Brigedier Jeneral Pg Dato Seri Pahlawan Aminan telah menerima penganugerahan  Brivet Berkuda daripada Brigadir Jenderal TNI Anang Dwitono, S.E., Komandan Pusenkav Kodiklat (Danpusenkav Kodilat) TNI AD. Semasa lawatan ini, beliau dipertunjukkan dengan satu demonstrasi ketangkasan menunggang kuda oleh anggota-anggota Denkavkud dan diikuti dengan acara menunggang kuda oleh Pemerintah TDDB sendiri dan Pegawai-pegawai Kanan dari kedua buah angkatan.

Di penghujung program, Pemerintah TDDB dan rombongan mengadakan lawatan ke PT Pindad, Bandung. Semasa lawatan ini, sebuah taklimat telah disampaikan oleh Direktur Utama PT Pindad, Silmy Karim dan seterusnya melawat ke fasiliti bahagian kenderaan dan persenjataan.

Program interaksi selama tiga hari ini berjaya mengeratkan hubungan persahabatan yang sudah lama terjalin di antara kedua angkatan darat dan membukakan peluang-peluang baru bagi mengukuhkan lagi kerjasama khususnya dalam latihan ketenteraan.