PENANJONG GARISON, Selasa 8 Disember 2015 – Pada musim cuti sekolah penggal ini, Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah memberikan program bimbingan kepada anak-anak warga ABDB menerusi Program Syababul Watan atau lebih di kenali dengan Tunas Bangsa.
Program Syababul Watan ini diadakan di Perkhemahan Dakwah, Kem Transit Penanjong Garison selama 3 hari dan 2 malam bermula pada 4 Disember hingga 6 Disember 2015.
Di samping mengeratkan hubungan silaturrahim di antara anak-anak warga ABDB, tujuan program ini ialah untuk mendedahkan para peserta dengan aktiviti-aktiviti keugamaan dan juga lawatan.
Aktiviti-aktiviti ini adalah untuk memupuk kesedaran mereka serta meningkatkan daya perkembangan diri dari aspek bekerjasama, bertanggungjawab, dan berkeyakinan diri agar mereka menjadi tunas bangsa yang berdikari, berbudi pekerti mulia, bersopan santun, mentaati orang tua berlandaskan kepada budaya hidup beragama yang berteraskan kepada Al-quran dan As-Sunnah.
Program ini telah di akhiri dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Lt Kol Pg Mohd Sufri bin Pg Haji Rosli, Pegawai Pemerintah Batalion Bantu TDDB, selaku tetamu kehormat di majlis penutup rasmi program yang diadakan di Surau Penanjong Garison pada 7 Disember 2015.

