BANGKOK, THAILAND, Rabu 25 November 2015 – Kejohanan Menembak Tentera Darat ASEAN kali ke-25 (25th ASEAN Armies Rifle Meet, AARM) yang bermula pada 7 November 2015 telah berakhir pada 25 November 2015.
Upacara penutupan rasmi kejohanan telah diadakan di Padang Tembak Taktikal Tentera, Kem Thanarat, Hua Hin, Thailand yang dihadiri oleh Pemerintah dan Ketua Tentera Darat dari 10 buah negara ASEAN.
Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Brigedier Jeneral Pg Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pg Haji Mahmud, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB). Upacara dimulakan dengan perlawanan akhir bagi Rifle Match 5, dan seterusnya sesi bergambar ramai bagi kesemua Ketua Tentera Darat ASEAN. Kemudian kesemua Ketua Tentera Darat ASEAN telah dijemput untuk mengikuti acara Novelty Shoot bagi perlawanan menembak Pistol Falling Plate dan Carbine Falling Vase.
Bagi memperingati acara yang berprestij ini, kesemua Ketua Tentera Darat ASEAN kemudiannya dijemput untuk menanam pokok dan upacara dimeriahkan lagi dengan persembahan aksi ketenteraan (military action performance) dari anggota-anggota Tentera Darat Diraja Thailand dan seterusnya menyaksikan perbarisan lalu kesemua kontinjen dari negara ASEAN yang menyertai kejohanan tersebut.
Upacara diteruskan dengan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang oleh Ketua Tentera Darat Diraja Thailand. Sejurus penyampaian hadiah, upacara diikuti dengan sesi penurunan bendera rasmi Kejohanan AARM dan seterusnya penyerahan bendera tersebut kepada Republik Filipina, selaku tuan rumah AARM bagi tahun 2016.
Disepanjang perlawanan dijalankan, Kontinjen AARM TDDB telah berjaya mengutip sebanyak dua pingat Perak dan dua pingat Gangsa.
Kejohanan AARM dihasratkan untuk memberi peluang kepada para penembak tentera darat ASEAN untuk mempamerkan kemahiran, kemampuan dan keupayaan masing-masing. Malah pertandingan itu juga merupakan sebuah pertemuan bagi para penembak meraih kemenangan dalam suasana perlawanan yang sihat, selain sebagai salah satu landasan bagi setiap kontinjen mengukuhkan tali persahabatan dan persefahaman yang sudah sedia terjalin.
Selain menjadi tuan rumah bagi kejohanan AARM, Tentera Darat Diraja Thailand juga turut menghoskan Mesyuarat Pelbagai Hala Ketua-Ketua Tentera ASEAN ke-16 (ASEAN Chief of Army Multilateral Meeting, ACAMM) yang dihadiri oleh Ketua Tentera Darat dari 10 buah negara ASEAN pada 22 – 23 November 2015, di Siam Kempinski Hotel, Bangkok.
Tema bagi mesyuarat pada tahun ini ialah “The Readiness of ASEAN Armies in Response to Challenges in the next 5 years”. Mesyuarat tersebut bertujuan untuk menyatukan kesemua Ketua Tentera Darat ASEAN bagi sama-sama membincangkan mengenai isu-isu serantau dan untuk mempereratkan lagi hubungan ketenteraan antara satu dengan yang lain.



