BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 24 November 2015 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-22, 2015.
Majlis diadakan di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada pagi ini.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda-adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik serta Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.
Seramai 39 pegawai terdiri daripada Bahagian II, III, IV dan V dari setiap kementerian yang telah diperkenankan menerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) bertujuan untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang telah menunjukkan prestasi dan penghasilan kerja yang cemerlang serta mempunyai keperibadian yang tinggi.
Anugerah ini diharapkan akan menjadi pendorong dalam meningkatkan semangat bekerja dan produktiviti kerja yang lebih tinggi lagi berkualiti yang akan membawa ke arah Perkhidmatan Awam yang cemerlang.
Para penerima APCPA 2015 dalam Bahagian II masing-masing menerima sebuah plak, wang tunai BND2,000 dan sijil penghargaan, manakala Bahagian III hingga V sebuah plak, wang tunai BND1,000 serta sijil penghargaan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan mengurniakan hadiah-hadiah kepada penerima-penerima APCPA dan pemenang Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) bagi tahun 2015.
Antara penerima APCPA dari Kementerian Pertahanan ialah Dyg Norainah binte Haji Basing, Penyelia Pejabat, Bahagian III, Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia; Dyg Hjh Noorlizawati binte Haji Yahya, Pembantu Teknik, Bahagian IV dan Awang Rosli bin Haji Damit, Tukang Kayu, Bahagian V dari Jabatanarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja.
Tema HPA Ke-22 pada tahun ini ialah ‘Urus Tadbir Dinamik Ke Arah Kesejahteraan Negara’ yang menitikberatkan betapa pentingnya Perkhidmatan Awam untuk mengamalkan urus tadbir yang bersifat dinamik, di mana sentiasa bersedia dan bersiap siaga dalam langkah yang proaktif, dapat disesuaikan terhadap penggubalan dunia dalam isu serantau, antarabangsa dan global.


