KOTA BELUD SABAH, Isnin 19 Oktober 2015 – Upacara pembukaan rasmi Eksesais MALBRU Setia siri 12/2015 dan Mertak Bersatu siri 10/2015 yang melibatkan anggota-anggota daripada Kompeni A Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan gabungan anggota mertak daripada Batalion Pertama, Kedua dan Ketiga TDDB bersama dengan Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) telah diadakan bertempat di Padang Kawad 3 RAMD, Kota Belud Sabah.
Hadir selaku Tetamu Kehormat semasa upacara tersebut adalah Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki bin Mokhtar, Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Kolonel Haji Muhd Haszaimi bin Bol Hassan, Timbalan Pemerintah TDDB.
Upacara dimulakan dengan pemasangan Toha yang disampaikan oleh Timbalan Pemerintah TDDB kepada Pengarah Latihan, Ketua Pelaku Biru dan Ketua Musuh, manakala Panglima Medan Timur TDM menyampaikan kepada Ketua Wasit. Upacara diteruskan lagi dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan seterusnya ucapan daripada Panglima Medan Timur TDM diikuti dengan pertukaran cenderahati. Upacara diakhiri dengan doa dan sesi bergambar ramai.
Eksesais MALBRU Setia dan Eksesais Mertak Bersatu buat pertama kalinya digabungkan di Kota Belud Sabah yang mana sebelum ini Eksesais Malbru Setia dijalankan di Miri Sarawak. Seramai 213 anggota termasuk pegawai TDDB dan 381 anggota termasuk pegawai TDM menyertai Eksesais tersebut.
Eksesais tersebut dilaksanakan bermula pada 19 Oktober 2015 dan akan berakhir pada 26 Oktober 2015. Eksesais pada tahun ini didahului dengan latihan silang di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu dan seterusnya disusuli dengan latihan medan yang berasaskan fasa ofensif iaitu mara dan serangan. Pergerakan dimulakan dari kawasan Tamparuli hingga ke Kota Belud, yang mana serangan akhir akan dilaksanakan dengan bantuan tembakan mortar gabungan TDDB dan TDM dan juga bantuan tembakan daripada pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Eksesais ini bertujuan untuk meningkatkan kesefahaman dan kerjasama serta mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara pihak TDM dan pihak TDDB. Ianya juga dapat meningkatkan keupayaan kedua-dua pihak didalam melaksanakan latihan bersama berpandukan kepada kesesuaian prosedur tetap operasi Brunei dan Malaysia. Selain daripada itu, penilaian terhadap Pemerintah dan Pegawai Staf di peringkat Batalion Infantri dan Pasukan Bantuan serta dapat menitik beratkan aspek keselamatan mengikut prosedur yang telah diberikan akan dapat dilaksanakan.
Eksesais Mertak Bersatu dan MALBRU Setia ini merupakan acara tahunan dimana Malaysia dan Brunei secara bergilir-gilir menjadi tuan rumah.