BOLKIAH GARISON, Khamis 15 Oktober 2015 – Majlis doa kesyukuran telah diadakan bagi kepulangan anggota-anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dari kumpulan ke 11 Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) dan anggota-anggota ABDB yang mengikuti misi pengaman bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di bawah Malaysian Battalion (MALBATT 850-2).

Majlis  telah diadakan di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison.

Kumpulan IMT ke 11 seramai 9 orang diketuai oleh Lt Kol Haji Huzaimi bin Pehin Datu Harimau Padang Major General (B) Dato Paduka Seri Haji Husin telah kembali ke tanahair pada  4 September 2015.

Manakala anggota ABDB yang mengikuti misi pengaman bagi Pasukan UNIFIL di bawah MALBATT 850-2 seramai 30 orang diketuai oleh  Mejar Pg Malik Yusri bin Pg Haji Zaidi telah kembali ke tanahair pada  23 September 2015.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran diikuti dengan sembahyang Fardu Asar, Doa Kesyukuran dan Dikir Marhaban.

Hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat dan Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Mohd Tawih bin Abdullah.  

Turut hadir ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, Pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan anggota-anggota dari Kementerian Pertahanan dan ABDB.