BERAKAS GARISON, Sabtu 10 Oktober 2015 – Mesyuarat Agung Koperasi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan Tanggungan Berhad (KOWIRA) kali ke-9 telah diadakan di Dewan Pahlawan, Berakas Garison.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah KOWIRA.
Mesyuarat telah dihadiri oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah (ALP), pemegang-pemegang saham yang terdiri daripada mantan-mantan Pemerintah dan pegawai-pegawai ABDB serta anggota-anggota ABDB yang masih berkhidmat dan juga yang telah bersara.
Tujuan mesyuarat diadakan adalah untuk mengetengahkan prestasi KOWIRA bagi tahun 2014, membincangkan hal-hal berbangkit dari mesyuarat AGM ke-8, kedudukan terkini kewangan dan pembahagian dividen serta perkembangan strategi perdagangan KOWIRA.
Sejak ditubuhkan pada Oktober 1998, KOWIRA mempunyai 905 ahli dan berhasrat untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan kebajikan mereka.