ISTANA NURUL IMAN, Sabtu, 29 Ogos 2015 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada seramai 202 penerima sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-69, di Istana Nurul Iman.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Juga berangkat ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Pengiran-Pengiran Peranakan, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Manteri-Manteri Pendalaman, para perwakilan negara sahabat, Setiausaha-Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Mendahului istiadat pengurniaan ialah Pengurniaan Bintang Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B) kepada seramai 40 penerima.
Ini diikuti dengan Pengurniaan Bintang Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Keempat (S.U.B) kepada seramai tujuh penerima.
Seramai 150 penerima dikurniakan Bintang Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B) dan seramai lima penerima dikurniakan Bintang Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Kelima (P.U.B)
Antara penerima Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam ialah pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam diakhiri dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
