BOLKIAH GARISON, Isnin 13 Julai 2015 – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bersempena dengan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui’zzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke 69 tahun.

Majlis berlangsung di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison.

Majlis dihadiri oleh Laksmana Pertama Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit, Pemangku Pemerintah ABDB. Turut hadir ialah Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, Komandan-komandan, Pengarah-pengarah, Pegawai-pegawai dan anggota-anggota ABDB.

Majlis
dimulakan dengan Sembahyang Fardu Zohor Berjemaah yang diimamkan oleh
Imam Surau Kementerian Pertahanan, Awang Shuib bin Haji Abdullah.

Majlis diteruskan dengan bacaan
ayat-ayat suci Al-Qur’an oleh seramai 69 pembaca yang terdiri daripada
pegawai dan anggota tentera dari berbagai-bagai unit ABDB.

Selesai bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an
majlis disusuli dengan bacaan Takhtim Al-Qur’an beramai-ramai yang
dipimpin oleh Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB, Kapten Ariffin bin Amit
dan diikuti laungan Dikir Marhaban dan diakhiri dengan Doa Penutup.

Majlis Bertadarus dan Khatam Al-Quran diadakan sebagai tanda syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah kurniaNya dalam memberikan nikmat kesihatan, lanjut usia dan keimanan kepada Pemimpin negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultah Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam.