JERUDONG, Selasa 30 Jun 2015 – Kira-kira 800 orang Pegawai Tentera dan Awam serta Lain-Lain Peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) hari ini telah menghadiri Bengkel Integriti yang telah diadakan di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong.

Bengkel yang dikendalikan oleh Unit Inspektorat, Pejabat Urusetia Pemerintah ABDB dijalankan mulai 30 Jun 2015 dan 1 Julai 2015 ini melibatkan pembentang undangan daripada Bahagian Inspektor Jeneral Angkatan Tentera Malaysia yang terdiri daripada Yang Berbahagia Mejar Jeneral Dato’ Abdul Rahim bin Haji Mohd Yusuff, Inspektor Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Mejar Ahmad Kamil bin Haji Abdullah, Pegawai Staf 2 Audit Integriti dari Bahagian Inspektor Jeneral Angkatan Tentera Malaysia.

Bengkel Integriti ini dijalankan buat pertama kalinya bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB  Ke-54 :

“Aspek-aspek disiplin dan integriti juga perlu ditekankan sebagai elemen penting dalam pengurusan sumber manusia.


Semua warga tentera hendaklah memperkukuhkan semangat cintakan institusi, sambil menjaga imej dan nama baik ABDB.


Tindakan terhadap anggota yang melanggar undang-undang dan disiplin, walau sekecil manapun, hendaklah dilaksanakan, kerana jika tidak, ia akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada institusi ketenteraan.”

Integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhannya dan padu pada individu dan organisasi.

Integriti berkaitan erat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-hari. Etika boleh diertikan dengan himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesyen.

Kemerosotan integriti individu, organisasi, masyarakat dan negara adalah puncanya penularan rasuah, ketidakcekapan, penyelewengan, salahguna kuasa, penipuan dan perlakuan tidak beretika yang lain serta berkurangnya semangat kerja. 
Kelemahan individu merupakan salah satu faktor yang amat penting. Individu yang lemah didikan agama dan penghayatan nilai-nilai murni, lemah disiplin diri dan etika kerja, serta tamak dan mementingkan diri akan menyebabkan merosotnya integriti. 
Kemerosotan integriti juga boleh berlaku sekiranya individu itu hanya melihat kelemahan orang lain dan enggan memeriksa kelemahan diri sendiri kerana ianya tidak akan mengakui dan mengatasinya.

Matlamat bengkel khususnya bagi Kementerian Pertahanan dan ABDB adalah untuk memberikan bimbingan agar sesebuah organsasi dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika; meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor agar usaha peningkatan integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang; menggalakkan semangat bertanggungjawab dikalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti; menyumbang kepada usaha pengkukuhan asas moral masyarakat dan negara, dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota; dan meningkatkan daya saing dan daya tahan Negara Brunei Darussalam amnya dan Kementerian Pertahanan/ABDB khususnya dalam usaha menangani cabaran abad ke-21 terutama sekali di dalam cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.

Turut hadir di bengkel ini ialah Pemangku Pemerintah ABDB, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlwan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit selaku tetamu kehormat serta Awang Haji Azhar bin Haji Ahmad, Timbalan Setiausaha Tetap (Teknologi), Pemerintah-Pemerintah Angkatan Tentera, Pengarah-pengarah, Pegawai-pegawai tentera dan awam.