RIMBA GADONG, Selasa 16 Jun 2015 – Seorang anggota dari Skuadron Pertahanan Pangkalan, Rejimen Udara, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) telah melafazkan dua Kalimah Syahadah dan ikrar pengakuan pengislaman iaitu Sld (U) Zulfazrin bin Kamis.
Majlis berlangsung di Dewan Punai, Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Brigadier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi bin Abd Latip, Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei.
Turut hadir bagi menyerikan majlis ialah Pengarah Keanggotaan, Timbalan Pemerintah TUDB, Pegawai-Pegawai Pusat Dakwah Islamiah, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai serta anggota-anggota TUDB dan ahli-ahli keluarga beliau.
Majlis dimulakan dengan bacaan Ayat Suci Al-Quran dan seterusnya pengakuan lafaz dan ikrar pengislaman dihadapan Pegawai Pusat Dakwah Islamiah, Daerah Brunei Muara.
Majlis diserikan lagi dengan laungan Dikir Marhaban dan taburan bunga rampai oleh tetamu kehormat majlis dan para jemputan yang hadir.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati oleh Pemerintah TUDB kepada saudara baru yang diraikan. Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Lt Narul Ismandi bin Haji Samaih dari Jabatan Agama ABDB.
Sld (U) Zulfazrin bin Kamis telah memilih nama Islam beliau sebagai Muhammad Zulfazrin bin Kamis. Majlis pengislaman kali ini merupakan majlis pengislaman yang ketujuh bagi tahun 2015. Ini menandakan bahawa cahaya Ugama Islam semakin bersinar dan berkembang luas di kalangan anggota ABDB.
