PENANJONG GARISON, Ahad 31 Mei 2015 – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) perlu mempunyai strategi pengambilan sumber manusia yang proaktif, yang boleh menarik minat para belia yang berkelayakan dan celik teknologi.


Bertitah pada Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Ke-54 di Padang Kawad, Institut Latihan ABDB, di sini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi ABDB menegaskan aspek-aspek disiplin dan integriti juga perlu ditekankan sebagai elemen penting dalam pengurusan sumber manusia.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah seluruh warga tentera hendaklah memperkukuhkan semangat cintakan institusi, sambil menjaga imej dan nama baik ABDB.


Tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi, tindakan terhadap anggota yang melanggar undang-undang dan disiplin, walau sekecil manapun, hendaklah dilaksanakan, kerana jika tidak, ia akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada institusi ketenteraan.


Dalam pada itu, titah baginda, semua peringkat kepimpinan adalah bertanggungjawab untuk memperkasa jiwa dan kerohanian setiap anggota yang berlandaskan nilai-nilai teras ABDB, iaitu taqwa, setia, berani dan profesional.


Terdahulu baginda bertitah, berkat kesepaduan dan komitmen seluruh rakyat dan agensi-agensi kerajaan, serta peranan angkatan tentera yang berkesan, maka negara kita alhamdulillah sentiasa berada dalam suasana aman dan sejahtera.


“Tetapi walaupun begitu, kesiapsiagaan untuk menghadapi sebarang ancaman adalah memerlukan angkatan tentera yang cekap lagi berkeupayaan. Ini termasuk bagi menghadapi dan menangani kejadian-kejadian di luar dugaan yang berlaku di dalam mahupun di luar negara,” titah baginda.


Negara masa ini, titah baginda, tidak ketinggalan turut menjalin kerjasama pertahanan dan juga telah terpanggil untuk menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan serta operasi keamanan di luar negara.


Baginda bertitah, itu semua tentu saja memerlukan peningkatan ‘Pengurusan Pertahanan’ dan ‘Pembangunan Keupayaan Tentera’ ABDB.


Keperluan itu, titah baginda, lebih dirasakan lagi, apabila sering terjadi pergolakan-pergolakan luar yang sering menggegarkan keselamatan kerana semua itu tidak dapat dinafikan sebagai boleh mendedahkan kita kepada ancaman-ancaman yang bersifat ‘conventional’ dan ‘non-conventional’.


“Berlandaskan senario ini, beta berharap ABDB akan sentiasa waspada dan berpandangan jauh terhadap masa depan pertahanan dan keselamatan negara,” titah baginda lagi.


Titah baginda lagi, negara perlu bijak membuat perancangan berupa penyediaan ‘force structure’ yang ‘robust’ dan berkesan.


Ke arah itu, baginda melahirkan kepercayaan bahawa inisiatif yang diambil oleh Kementerian Pertahanan dalam mengendalikan ‘Defence Review’ adalah bertepatan dan mampu untuk menghasilkan kesan yang positif.


Baginda bertitah, tidak dapat dinafikan, kemantapan dan kesinambungan angkatan tentera adalah didukung oleh anggota-anggotanya yang mencukupi dan berkualiti.


Mengakhiri titah, baginda mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun ABDB Ke-54 dan semoga seluruh warga ABDB akan sentiasa berada di bawah naungan dan petunjuk Allah Subhanahu Wata’ala jua.