BOLKIAH GARISSON, Selasa, 26 Mei 2015 – Sempena Sambutan Isra’ Mi’raj 1436 Hijrah, Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia telah mengadakan kursus motivasi bertajuk ‘Program Memperkasa Prestasi dan Keseronokan Bekerja’ yang telah dihadiri oleh seramai 50 orang pegawai dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan.


Kursus ini diadakan bertempat di Bilik Kuliah, Pusat Optima Kecergasan Tentera selama 2 hari mulai 25 Mei 2015 hingga 26 Mei 2015.


Program Memperkasa Prestasi dan Keseronokan Bekerja disampaikan oleh Yang Berbahagia Prof (Adjung) Dato’ Dr Haji Mohd Fadzilah bin Kamsah daripada Syarikat DFMK Inspiration Sdn Bhd, Malaysia, disasarkan untuk pegawai dan kakitangan awam daripada divisyen 2 hingga 5 bagi menyuntik semangat dan motivasi diri ke arah meningkatkan produktiviti diri dan organisasi.


Topik perbincangan pada sesi pertama ialah mengenai penganalisaan kendiri iaitu rutin fitrah, apa yang kita cari dan sumber untuk mengenal diri serta punca tidak seronok bekerja dan faktor-faktor keseronokan bekerja dan peningkatan produktiviti. Pada sesi kedua pula, perbincangan program meliputi petua-petua untuk sentiasa ceria dan setia pada organisasi dan sentiasa mengingati bahawa kerja itu merupakan satu ibadah. Seterusnya mengenai petua hubungan kemanusiaan yang cemerlang dan teknik berkomunikasi yang efektif.


Kursus ini berakhir dengan penyampaian sijil kepada para peserta kursus oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia, Awang Nor Aidil bin Haji Abu Bakar.