BOLKIAH GARISON, Jumaat, 15 Mei 2015 – Seorang anggota dari Pasukan Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah melafazkan dua kalimah syahadah dan ikrar pengakuan islam iaitu Pegawai Waran 2 Mosley bin Limbun.

Majlis pengislaman berlangsung di Surau Bolkiah Garison, Kementerian Pertahanan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pemerintah ABDB.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan seterusnya pengakuan lafaz dan ikrar pengislaman dihadapan Pegawai Pusat Dakwah Islamiah, Daerah Brunei Muara. Majlis diserikan lagi dengan Laungan Dikir Marhaban dan taburan bunga rampai oleh Tetamu Kehormat Majlis dan para jemputan yang hadir.

Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati oleh Pemerintah ABDB kepada saudara baru yang diraikan. Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Kapten Ariffin Bin Amit, Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB.

PW2 Mosley bin Limbun telah memilih nama islam beliau sebagai Mohammad Nur Amir bin Abdullah Limbun.

Majlis pengislaman kali ini merupakan majlis pengislaman yang kelima bagi tahun 2015. Ini menandakan bahawa cahaya ugama Islam semakin berkembang luas di kalangan anggota ABDB.