BERAKAS GARISON, Rabu 13 Mei 2015 – Majlis Doa Kesyukuran bagi meraikan kemenangan di tempat kedua kontingen Kementerian Pertahanan didalam Pesta Sukan Kementerian-Kementerian 2015 (PSKK 2015) telah diadakan di Kelab Menunggang Kuda, Berakas Garison.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Datin Paduka Hajjah Suriyah binte Haji Umar, Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan. Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah-pengarah Tentera dan Awam serta Komandan Institut Latihan ABDB selaku Pengerusi Majlis Sukan ABDB.
Majlis diikuti dengan penganugerahan Atlet Cemerlang ABDB bagi lelaki dan wanita bagi tahun 2014/2015.
Pemenang Anugerah Atlet lelaki Cemerlang ialah Lt (U) Haqim Bin Yahya, yang telah meraih pingat emas dalam acara Olahraga Lompat Tinggi di Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam 2014 dan dua pingat emas di PSKK 2015 dalam acara Olahraga Lompat Tinggi dan Lompat Jauh.
Beliau juga pernah menyertai Sukan SEA 2013 di Myanmar, Asian Junior Championship 2013 di India, Sukan BIMP-EAGA 2007 di Makassar, Indonesia dan Sukan SUKMA 2008 di Trengganu, Malaysia.
Pemenang Anugerah Atlet Cemerlang Wanita ABDB ialah Lance Koperal Norleyharyanti binte Haji Raya pernah meraih pingat emas di Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam 2014 dalam acara Silat Tunggal Wanita dan pingat emas dalam acara Silat Kuntau Wanita.
Beliau juga pernah mewakili negara di Sukan SEA 2005 di Philippines dan meraih pingat gangsa acara Silat Regu Berpasukan di Sukan SEA 2011 di Indoensia.
