BERAKAS, Sabtu, 9 Mei 2015 – Pesta Sukan Kementerian-Kementerian (PSKK) 2015 menutup tirainya dengan Kementerian Pendidikan dinobatkan juara keseluruhan dengan mengutip 15 pingat emas, 12 perak dan 16 gangsa.

Kontinjen Kementerian Pertahanan menduduki tempat kedua dengan mengumpul 12 pingat emas, 18 perak dan 19 gangsa, manakala kontinjen Jabatan Perdana Menteri (JPM) berada tempat ketiga dengan memungut 11 emas, 9 perak dan 12 gangsa.

Majlis Penutup PSKK telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Acara dimulakan dengan perlawanan peringkat separuh akhir dan akhir Kategori Terbuka Tarik Kalat Dalam Dewan bagi berat badan 680 kilogram (kg) terkumpul yang menyaksikan kontinjen Kementerian Pembangunan menentang Kementerian Pertahanan dan JPM melawan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

Dalam perlawanan itu, Kementerian Pembangunan berjaya mengalahkan berjaya mengalahkan lawannya dan sekali gus menjuarai kategori berkenaan, sementara KHEDN menduduki naib juara dan berkongsi di tempat ketiga ialah JPM dan Kementerian Pertahanan.

Seterusnya acara diikuti dengan kontinjen dari 12 buah kementerian masuk ke dalam arena dan disusuli dengan penyampaian pingat bagi acara Tarik Kalat Tradisi berat badan 70kg dan 1,100kg terkumpul dan Sukan Tarik Kalat Dalam Dewan bagi acara berat badan 680kg terkumpul yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

Bagi acara 70kg, tempat ketiga dikongsi bersama oleh JPM dan Kementerian Pertahanan, naib juara ialah Kementerian Pembangunan dan johan disandang oleh Kementerian Kesihatan.

Manakala, bagi 1,100kg terkumpul tempat ketiga juga dikongsi sama oleh Kementerian Perhubungan dan JPM, sementara naib juara disandang oleh KHEDN dan johan ialah kontinjen Kementerian Pembangunan.

Majlis di ikuti tetamu kehormat mengisytiharkan penutupan rasmi PSKK 2015.

PSKK dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan, KKBS dengan kerjasama Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan salah satu projek di bawah sukan untuk masyarakat yang bermula sejak 1991 dengan hasrat untuk membentuk masyarakat pegawai dan kakitangan kerajaan yang cergas, sihat, kukuh jasmani, rohani, berdisiplin dan berdikari.

Sebanyak lima acara sukan telah dipertandingkan secara berkontinjen, iaitu Bola Jaring, Futsal, Olahraga, Petanque dan Tarik Kalat (Dalam Dewan dan Tradisional) yang melibatkan seramai 1,518 pegawai dan kakitangan kerajaan sebagai atlet, jurulatih mahupun pegawai teknikal.

PSKK adalah salah satu usaha KKBS melalui JBS untuk menjadikan aktiviti-aktiviti sukan bukan hanya semata-mata untuk kecemerlangan, tetapi juga untuk kecergasan, kesihatan fizikal dan mental serta perpaduan.