BOLKIAH GARISON, Khamis, 7 Mei 2015 – Seramai 150 orang pegawai dan kakitangan awam dari divisyen I hingga V telah menghadiri Taklimat Tatatertib dan Integriti Anti Rasuah.
Taklimat berlangsung di Dewan Konsert Wira Seni, Bangunan Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Bolkiah Garison.
Taklimat ini dianjurkan oleh Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia dengan tujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai rasuah dan mengenalpasti proses penambahbaikan dan memastikan compliance ke arah pengurusan kewangan yang lebih cekap.
Selain itu, taklimat ini juga diadakan untuk mengingatkan pegawai dan kakitangan kementerian ini mengenai peraturan-peraturan yang telah digarispandukan di dalam Surat Keliling dan Surat Pemberitahuan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Sasaran utama taklimat ini adalah untuk pegawai dan kakitangan divisyen I hingga V yang terlibat dalam pengurusan kewangan dan berurusan dengan pihak yang mempunyai kepentingan terhadap Kementerian Pertahanan.
Taklimat dibahagikan kepada dua sesi iaitu taklimat bertajuk Pencegahan Rasuah dan Pengendalian Hadiah yang disampaikan oleh Pegawai Biro Mencegah Rasuah, Awang Haji Mohd Hisham bin Haji Sulaiman, Penyiasat Khas Kanan Unit Pencegahan, Bahagian Perancangan dan Perkembangan Integriti.
Manakala sesi kedua taklimat yang bertajuk Tatatertib disampaikan oleh Pg Mohd Bakhtiar bin Pg Haji Ibrahim, Pegawai Pentadbir Tingkat Khas, Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia.
