BOLKIAH GARISON, Jumaat 17 April 2015 – Seramai 120 orang kakitangan awam Kementerian Pertahanan telah menyertai Kejohanan Olahraga yang diadakan di Mini Stadium Bolkiah Garrison. Kejohanan ini merupakan kali kedua ianya diadakan. Ianya bertujuan untuk menggalakkan pegawai dan kakitangan awam di Kementerian Pertahanan untuk bergiat dalam acara sukan dan menilai atlit-atlit yang berpotensi untuk mewakili Pasukan Olahraga Kementerian Pertahanan.
Kejohanan telah dihadiri Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar, Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan selaku tetamu kehormat yang juga menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang dan piala pusingan.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah-Pengarah, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan kakitangan serta ahli keluarga warga Kementerian Pertahanan.
Sebanyak 39 acara telah dipertandingkan yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu bagi Lelaki dan Wanita. Setiap bahagian terdapat tiga ketegori umur iaitu Kategori A Terbuka bagi 39 tahun kebawah, Kategori B bagi 40 ke 44 tahun dan Kategori C bagi 45 ke 49 tahun.
Kejohanan ini dibukakan kepada semua Garison dan Perkhemahan yang mana disertai dari tujuh pasukan iaitu Bolkiah Garison, Perkhemahan Berakas, Perkhemahan Tutong, Perkhemahan Penanjong, Pengkalan Tentara Udara Diraja Rimba, Perkhemahan Muara dan gabungan Perkhemahan Bangar dan Perkhemahan Lumut.
Piala Pusingan Kejohanan telah dijulang oleh pasukan dari Perkhemahan Penanjong.
