RIMBA, Khamis 12 Mac 2015 – Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) telah mempengerusikan bersama Mesyuarat Kelompok Kerja Udara (KKU) kali ke-5 di Negara Brunei Darussalam, sepanjang 9 hingga 12 Mac 2015. Mesyuarat tersebut telah dikendalikan di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara, Rimba​​.

Mesyuararat tersebut telah dipengerusikan bersama oleh Kolonel (U) Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim dari TUDB dan Kolonel Penerbang Santoso dari TNI – AU. Objektif mesyuarat tersebut adalah bagi meningkatkan kerjasama di antara kedua buah Tentera Udara di bidang pertukaran anggota, lawatan, pendidikan dan latihan. Objektif lain mesyuarat tersebut juga berhubung dengan perlaksanaan latihan silang bersama, LATMA ELANG BRUNESIA 7 yang akan dikendalikan oleh TUDB pada tahun 2016 dan juga membincangkan halatuju kedua Tentera Udara.

LATMA ELANG BRUNESIA 7 dijadualkan akan diadakan di Negara Brunei Darussalam pada bulan Oktober 2016.

Antara aturcara sepanjang mesyuarat tersebut juga melibatkan Kunjungan Hormat kepada Pemangku Pemerintah TUDB, Kolonel (U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah, lawatan ke tempat-tempat pelancongan, sukan interaksi dan diakhiri dengan Majlis Makan Malam Akrab yang menyaksikan penandatanganan minit mesyuarat.