BOLKIAH GARISON, Jumaat 27 Februari 2015 – Pejabat Bahagian Ugama, Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia, Kementerian Pertahanan telah mengadakan Peraduan Murattal al-Quran bagi Murid-Murid Mengaji Al-Quran Surau (M3 AQSA) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Pertandingan diadakan di Dewan Konsert Wira Seni, Bangunan Pancaragam ABDB, Bolkiah Garison.
Hadir selaku tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Haji Adi Irham bin Dato Paduka Haji Mahmud, Pemangku Pengarah Dasar Pertahanan.
Peraduan ini disertai sebanyak 6 kumpulan yang telah berjaya diperingkat saringan. Setiap kumpulan disertai seramai 7 orang pembaca yang mempersembahkan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran secara berkumpulan.
Kelas Mengaji Al-Quran bagi murid-murid lelaki telah dijuarai oleh Surau Perkhemahan Tutong manakala naib juara ialah dari Surau Berakas Garison dan tempat ketiga ialah peserta dari Surau Tentera Laut Diraja Brunei, Muara.
Bagi Kelas Mengaji Al-Quran murid-murid perempuan, juara dari Surau Perkhemahan Tutong manakala naib juara dari Surau Tentera Laut Diraja Brunei, Muara dan tempat ketiga dari Surau Kementerian Pertahanan.
Antara objektif petandingan ini adalah bagi menyahut seruan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir dengan penerapan budaya membaca Al-Quran kepada semua lapisan rakyat yang bermula dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa dan melahirkan generasi muda yang celik Al-Quran serta memupuk minat mereka untuk memahami dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran.
Ianya juga sebagai galakkan dan pendedahan kepada murid-murid M3 AQSA untuk berani menyertai pertandingan seumpama ini dan menyemai semangat kerja berpasukan dalam diri peserta.
Kelas M3AQSA adalah kelas belajar mengaji bagi anak-anak warga awam dan tentera Kementerian Pertahanan. Kelas ini diadakan di seluruh perkhemahan ABDB pada setiap pagi Jumaat dan Ahad.
Pada masa ini jumlah murid-murid yang mengikuti kelas M3 AQSA di seluruh perkhemahan mencecah seramai 1500 orang.
