PENANJONG GARISON, Juma’at 20 Februari 2015 – Satu majlis pengislaman bagi LKpl Juliana Anak Burut, anggota wanita Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), telah berlangsung di Surau Penanjong Garison petang ini.


Hadir selaku tetamu kehormat, Kolonel (L) Haji Aznan bin Haji Julaihi, Pengarah Keanggotaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Turut hadir bagi menyerikan majlis tersebut ialah Komandan IL ABDB, Pegawai-pegawai Pusat Dakwah Islamiyyah, Jemputan-jemputan Khas, Pegawai-pegawai Kanan ABDB, pegawai-pegawai dan anggota ABDB serta kaum keluarga anggota yang diraikan.


Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran iaitu Surah Al-Mu’minuun dari ayat 1 hingga 11 oleh Sjn Siti Salawati binti Awang Suhaimi. Pengakuan pengislaman dan ikrar lafaz dua kalimah syahadah dilaksanakan di hadapan Pegawai Pengislaman daripada Pusat Dakwah Islamiyyah, Daerah Tutong.

Majlis diserikan dengan laungan Dikir Marhaban serta taburan bunga rampai oleh tetamu kehormat majlis serta para jemputan yang disertai dengan penyampaian cenderahati kepada anggota yang diraikan. Bagi memberkati majlis pada petang itu, Doa Selamat dibacakan oleh Kapten Ariffin bin Amit, Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB.


LKpl Juliana yang berasal dari Kampong Pad Nunok, Tutong telah memilih nama Islam beliau sebagai Dayang Nur ‘Izz Azzrina binti Burut. Beliau mula berkhidmat dengan ABDB pada tahun 2009 dan sekarang beliau ditempatkan sebagai Jurulatih Jasmani di Kompeni Rekrut, IL ABDB. Menurut statistik yang dicatatkan oleh Jabatan Agama ABDB, beliau adalah anggota ABDB pertama yang telah memeluk Islam pada tahun ini.