BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat 13 Februari 2015 – Pertandingan Dikir Syarafil Anam peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Kementerian Pertahanan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W 1436H / 2015M telah diadakan serentak di Dewan Pahlawan Berakas Garison bagi kategori Lelaki dan Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison bagi kategori wanita.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi pertandingan kategori lelaki ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pemerintah ABDB.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi pertandingan kategori wanita pula ialah Lt Kol Hajah Asnah binti Haji Matamit, Pegawai Turus Kewangan, Jabatanarah Keanggotaan, Kementerian Pertahanan.

Sebanyak 7 pasukan bagi kategori lelaki telah bertanding  pada hari tersebut iaitu Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Institut Latihan ABDB, Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), AP ABDB dan Rejimen Pasukan Khas (RPK).


Manakala sebanyak 6 pasukan bagi kategori wanita telah bertanding iaitu TDDB, TLDB, TUDB, IL ABDB, KEMENTAH dan AP ABDB.

Rumusan pertandingan lelaki telahpun disampaikan oleh Imam Muslim bin Abd Razak, Imam Masjid Mohamad Bolkiah, Kampong Serusop. Manakala bagi kategori wanita, rumusan pertandingan telah disampaikan oleh Ustazah Pg Hajah Sa’adiah binti Pg Haji Mahmud, Ketua Guru Agama Askar Wanita, ABDB.


Johan bagi pertandingan kategori lelaki sekaligus membawa pulang Piala Pusingan Johan Pertandingan Dikir Syarafil Anam ialah kumpulan Salim-ul Aqidah dari IL ABDB. Naib Johan pula jatuh kepada kumpulan Dhiyaul Haq dari TLDB. Tempat ketiga jatuh kepada kumpulan Syabab Ar-Roja dari TUDB. 

Sementara bagi kategori wanita pula, johan pertandingan telah membawa pulang Piala Pusingan Johan Dikir Syarafil Anam iaitu kumpulan ‘Ainussofa dari KEMENTAH. Naib Johan pula jatuh kepada kumpulan Syabah Ufairah dari TDDB manakal tempat ketiga jatuh kepada kumpulan ‘Umairah dari TUDB. Setiap pasukan dari kedua-dua kategori telah membawa pulang sebuah Mushaf Brunei Darussalam dan terjemahannya dan sijil penyertaan.


Turut hadir bagi sama-sama memeriahkan majlis tersebut ialah Pemerintah-Pemerintah Angkatan Tentera, Timbalan-Timbalan Pemerintah, Pengarah-Pengarah, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai, PTB Kanan dan Rendah dari Kementerian Pertahanan dan ABDB.


Antara tujuan pertandingan ini diadakan adalah bagi memberikan pendedahan kepada pegawai dan anggota ABDB dan Kementerian Pertahanan mengenai kepentingan Dikir Syarafil Anam yang mana di dalamnya terkandung kata puji-pujian khusus untuk baginda S.A.W dan dalam masa yang sama untuk menambahkan lagi rasa cinta kita terhadap baginda S.A.W.