RIYADH, SAUDI ARABIA,  Ahad 4 Januari 2015 – Upacara Penutup Pertandingan Menghafaz Al-Quran Anugerah Putera Sultan kali ke-8 bagi Anggota Tentera dari Negara-negara Islam telah berlangsung di Dewan Auditorium Tentera Udara Diraja Saudi, Riyadh.

Penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Field Marshall Abdur Rahman bin Saleh Al-Banyan, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Saudi.

Pertandingan kali ini diselenggarakan oleh Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Saudi yang diketuai oleh Major General Muhammad bin Abdur Rahman As-Sa’dan.

Pertandingan berlangsung selama 7 hari bermula dari 28 Disember 2014 hingga 3 Januari 2015 di Ritz Charlton Auditorium, Riyadh dan sebanyak 26 negara menyertai pertandingan kali ini termasuk Australia, Belanda dan England.

Pemenang di dalam kategori 10 juzuk disandang oleh Negeri Chad, Naib Johan disandang oleh Bangladesh dan Bahrain di tempat ketiga. Bagi kategori 5 juzuk, juara disandang oleh Morocco, naib johan disandang oleh Mesir dan tempat ketiga disandang oleh Saudi Arabia.

Penganjur pertandingan juga mengaturkan beberapa lawatan ke tempat-tempat bersejarah di Riyadh, Madinah dan juga berpeluang kepada seluruh delegasi negara untuk menunaikan ibadah Umrah di Mekah.

Pertandingan yang diadakan 2 tahun sekali ini bertujuan bagi menghimpunkan penghafaz Al-Quran dari Angkatan-angkatan Tentera di kalangan Pegawai dan Anggota dari seluruh Negara-negara Islam. Ini adalah salah satu peluang mengeratkan silaturrahim bagi Negara-negara yang menyertai pertandingan melalui keunikan al-quran dengan bacaan qiraat yang tujuh dihakimi oleh tokoh-tokoh al-quran imam besar dari pelbagai negeri seperti Saudi Arabia, Mesir, Jordan dan Kuwait yang diketuai oleh Imam Besar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Ali Abdur Rahman Al-Huzaifi.

Dengan penyertaan Pegawai dan  anggota ABDB dalam pertandingan ini sedikit sebanyak menunjukkan peningkatan didalam perkembangan Syiar islam khususnya didalam pembacaan dan hafalan Al-Quran dikalangan warga ABDB.