BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 3 Januari 2015 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Bagi Tahun 1436 Hijrah di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara.

Keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke majlis tersebut dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1436 Hijrah serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan yang lain.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah,  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berserta kerabat diraja yang lain.

Majlis sambutan dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke majlis perhimpunan tersebut secara langsung mempereratkan lagi hubungan kasih dan kesetiaan antara baginda dengan rakyat jelata.

Katanya, kesudian KDYMM mengepalai perarakan mengelilingi Bandar Seri Begawan menggambarkan kepimpinan baginda yang disanjung tinggi kerana ugama serta ingatan dan cinta yang besar ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

“Alhamdulillah sebagai tanda kecintaan kita terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan demi kesinambungan dan teladan kepada generasi Brunei akan datang dari zaman ke zaman, negara kita masih dapat mengekalkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengadakan Perhimpunan dan Perarakan yang diadakan serentak di seluruh negara,” ungkap Menteri Hal Ehwal Ugama.

Tambahnya, pada tahun ini majlis sambutan telah diwarnakan dengan beberapa sentuhan idea agar perjalanan majlis lebih selesa dan bertambah meriah dengan menampilkan sudut yang berlainan khasnya kepada pasukan kanak-kanak sekolah peringkat rendah.

Jelasnya, pada tahun ini perubahan yang dilaksanakan ialah jarak laluan perjalanan perarakan dikurangkan menjadi 3.7 kilometer dari 4.7 kilometer yang asalnya.

KDYMM kemudiannya berkenan berangkat menerima junjung ziarah dan bersalam-salaman dengan ketua-ketua pasukan yang mengambil bahagian dalam perhimpunan dan perarakan tersebut.

Majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh Pasukan Dikir Kementerian Pertahanan dan sebaik-baik sahaja sampai kepada ‘Ya Habibi’ tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.

Bagi memohon berkat dan syafaat, doa selamat telah dibacakan oleh Mufti Kerajaan.

Sebelum perarakan bermula, Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal mengepalai bacaan selawat yang menandakan perarakan akan dimulakan.

Perarakan mengelilingi sebahagian Bandar Seri Begawan didahului oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja dan pembesar-pembesar negara.

Pada tahun ini sebanyak 132 buah pasukan menyertai perhimpunan dan perarakan dengan jumlah keramaian lebih 14 ribu orang. Para peserta yang mengikuti perarakan ini terdiri daripada pasukan-pasukan beruniform, kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, institusi-institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah, persatuan-persatuan dan orang ramai.

Penyertaan ABDB di Perhimpunan Maulidur Rasul di Bandar Seri Begawan di ketuai oleh Kolonel Dr Hafizul bin Haji Hassan, Ketua Pegawai Perubatan ABDB.

Manakala lebih 100 orang pegawai-pegawai dan kakitangan awam dari Kementerian Pertahanan juga menyertai Sambutan Maulidur Rasul di ketuai oleh Awang Haji Azhar bin Haji Ahmad, Timbalan Setiausaha Tetap (Teknologi), Kementerian Pertahanan.

Tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Bagi Tahun 1436 Hijrah ialah ‘Mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.