BERAKAS GARISON, Isnin 1 Disember 2014 – Mantan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abd Rahman telah diraikan dengan Majlis makan malam beradat semalam bagi meraikan 30 tahun perkhidmatan beliau didalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Majlis diadakan di Mes Pegawai Berakas Garison.
Ketibaan Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Yussof dan isterinya di mes pegawai, telah disambut oleh Pemerintah baru TDDB, Kolonel Pg Dato Paduka Aminan bin Pg Haji Mahmud, bersama isterinya, Datin Hajah Rasidah binti Haji Ibrahim.
Pemerintah TDDB, Kolonel Pg Dato Paduka Aminan dalam ucapannya mengungkapkan bahawa Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Yussof, Mantan Pemerintah TDDB adalah seorang ketua dan pemerintah yang berwibawa serta digalati. Kewibawaan beliau tidak terbatas hanya kepada Tentera Darat malahan kepada Tentera Darat dan Angkatan Bersenjata di luar negara.
Manakala Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Yussof, Mantan Pemerintah TDDB, dalam ucapan balas beliau menyampaikan penghargaan kepada Persatuan BAKTI yang sentiasa memberikan kerjasama serta sokongan khusus bagi TDDB. Beliau juga menyeru agar kerjasama yang padu ini akan sentiasa dikekalkan.
Majlis diungkayahkan sebagai satu tanda penghormatan bagi mengenang jasa, khidmat bakti serta pengorbanan yang telah disumbangkan oleh Mantan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, disamping mengeratkan hubungan diantara Pegawai-Pegawai TDDB dan Pemerintah TDDB yang baru.
