BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 27 November 2014 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menyempurnakan penganugerahan Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam (ACPA) dan Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) bagi tahun 2014 sempena Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Kali Ke-21.

Majlis diadakan di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada pagi ini.

Antara penerima APCPA pada tahun ini ialah pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pertahanan yang terdiri dari Dyg Noor Serena @ Fiona bte Haji Awg Omar, Pegawai Hal Ehwal Undang-Undang Bahagian II, Unit Korporat dan Perundangan, Pejabat Urusetia Timbalan Menteri Pertahanan; Awg Haji Mat Yassin bin Haji Tunggal, Pengurus Mess Tingkat I, Bahagian III, Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia; Dyg Norhani bte Ma’arof, Kerani Bahagian IV, Jabatanarah Kewangan dan Perolehan; dan Awg Haji Mohd Jeli bin Haji Jait @ Garif, Mandur Bahagian V, Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia. 

APCPA ini merupakan penghargaan dan pengiktirafan kepada Pegawai dan Kakitangan Perkhidmatan Awam Bahagian II, III, IV dan V yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang. Kualiti dan penghasilan kerja Pegawai / Kakitangan berkenaan seringkali melebihi daripada keperluan tugas dan tanggungjawab jawatan serta mempunyai keperibadian yang boleh dicontohi oleh Pegawai / Kakitangan yang lain.

Kementerian Pertahanan juga turut menerima saguhati untuk penyertaan program Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam (ACPA)  2014 bagi projek yang telah dan sedang dilaksanakan iaitu kategori Kertas Projek secara kumpulan dan kategori Kertas Cadangan.

Kategori Kertas Projek telah dilaksanakan oleh KUMPULAN IDARATUL USSUL dari Bahagian Pemelihraan Estet, Jabatanarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja dengan tajuk projek iaitu “Pengurusan Fasilitas dan Pemeliharaan Estet Bagi Kementerian Pertahanan”. Sementara kategori Kertas Cadangan bertajuk “Kadar Hak Subsidi Baru Bagi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB)” yang dibentangkan oleh Ak Muhd Aziz bin Pg Haji Ali Hassan.

Tema sambutan HPA tahun ini ialah Urustadbir Yang Dinamik Ke Arah Kesejahteraan Negara
.