BERAKAS GARISON, Jumaat 7 November 2014 – Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) menyambut Hari Ulang Tahunnya yang ke-53 hari ini dengan mengadakan upacara perbarisan perutusan Pemerintah TDDB yang berlangsung di Padang Kawad Batalion Pertama TDDB, Perkhemahan Berakas Garison.
Aturcara perbarisan dimulakan dengan penerimaan tabik hormat diikuti dengan pemeriksaan perbarisan dan seterusnya ucapan perutusan oleh Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abd Rahman, Pemerintah TDDB.
Dalam ucapan perutusan tersebut Pemerintah TDDB telah menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih dan seterusnya melafazkan ikrar ta’at setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Beliau juga menekankan bahawa pencapaian dalam mengejar visi untuk menjadi sebuah “Tentera Darat yang berkemampuan tinggi dan berwibawa” serta melaksanakan tugas dan misi “untuk melindungi dan mempertahankan integriti kedaulatan tanah air” ini, hanya akan dapat dicapai dengan adanya struktur organisasi yang kukuh serta anggota tentera yang bersatu padu dan komited.
Antara aturcara yang telah dijalankan juga ialah kemasukkan Khidmat Perubatan dan Kesihatan, Khidmat Pergigian serta Khidmat Bomba dan Penyelamat Jabatanarah Logistik, Kementerian Pertahanan ke dalam unit TDDB, dibawah Khidmat Bantuan Kombat (KBK), dan seterusnya dengan pengeluaran sebanyak 18 buah buku doktrin TDDB. Kemasukkan tersebut melakar detik sejarah baru bagi TDDB yang melambangkan satu kemajuan serta perkembangan struktur yang positif dalam mengikuti perkembangan zaman. Ianya telah diserap masuk bermula pada 4 November 2013 bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun TDDB yang ke 53 tahun.
Selain perkembangan struktur, TDDB juga buat pertama kalinya telah menghasilkan sebanyak 18 jenis buku doktrin di peringkat TDDB yang terdiri daripada 17 buah buku di bidang pengarahan operasional dan sebuah buku Army Fitness Handbook. Kesemua buku doktrin tersebut berperanan sebagai panduan dalam melaksanakan pelbagai jenis perancangan dan latihan tempur di peringkat taktikal mahupun operasional. Penghasilan tesebut merupakan satu kejayaan yang signifikan dalam mempertingkatkan mutu serta tahap professionalisme TDDB.
Di dalam memastikan kesiapsiagaan TDDB, Pemerintah TDDB juga telah menyatakan mengenai dengan beberapa latihan di pelbagai peringkat yang telah dilaksanakan dengan jayanya. Pada tahun ini sahaja, Eksesais BRUMAL SETIA bersama Tentera Darat Malaysia dan Eksesais Latihan Bersama (LATMA) dengan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) buat pertama kalinya telah berjaya dilaksanakan. Seterusnya Eksesais SEMANGAT WAJA kali ke-6 bersama unit Infantri dan unit Jurutera Tempur Tentera Darat Singapura berserta unit Kompeni Infantri Batalion Pertama Royal Gurkha Rifles, British Army yang berpangkalan di Seria, Daerah Belait akan berlangsung pada bulan April 2015. Latihan tersebut bukan sahaja mempamerkan kesediaan dan keupayaan TDDB bahkan ianya juga mencerminkan komitmen TDDB dalam meningkatkan inter-operability serta kerjasama dengan negara luar.
Pemerintah TDDB seterusnya menekankan mengenai dengan pelbagai aspek disiplin ketenteraan yang mendukacitakan sejak kebelakangan ini. Menurut beliau ianya boleh merosakkan kredibiliti, integriti serta menconteng nama baik warga dan imej pasukan TDDB secara keseluruhannya. Oleh yang demikian Pemerintah TDDB menyeru agar seluruh warga TDDB berganding bahu serta tekad untuk sama-sama membenteras apa jua gejala sosial yang negatif dan boleh merosakkan reputasi pasukan TDDB. Apa yang perlu dilaksanakan ialah dengan menguatkan semangat, kentalkan disiplin, membetulkan sistem dan mengikuti apa jua prosedur yang betul demi menegakkan keadilan kepada semua pihak serta melindungi kredibiliti TDDB secara holistik. Apa yang paling penting juga ialah meningkatkan iman dan takwa serta aktiviti-aktiviti keugamaan di unit masing-masing.
Di akhir perutusan, Pemerintah TDDB mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua anggota TDDB yang telah bekerja, berbakti dan berkhidmat dengan baik sama ada mereka yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara.
Manakala disebelah petang, acara perbarisan Hari Ulang Tahun TDDB ke 53 juga turut disempurnakan secara serentak di Perkhemahanan Lumut, Perkhemahan Tutong, Penanjong Garison, Perkhemahan Bangar dan Pulau Baru-Baru yang mana Perutusan Pemerintah TDDB disampaikan oleh Pegawai Pemerintah dan perwakilan unit masing-masing kepada anggota-anggota TDDB.
Pelbagai aktiviti lain juga telah pun dilaksanakan dan disusun sebelum sambutan perbarisan Hari Ulang Tahun TDDB pada pagi ini diadakan. Antaranya ialah Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja pada hari 29 Oktober 2014 dan Majlis Doa Kesyukuran di Surau Berakas pada 3 November 2014.
