RIMBA, Sabtu 31 Mei 2014 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Ahli-Ahli Kerabat Diraja dijunjung berangkat ke Dewan Layang-Layang TUDB bagi Majlis Ramah Mesra bersama Pegawai-Pegawai Tidak Bertauliah Kanan ABDB.

Selepas bergambar ramai, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia serta Ahli-Ahli Kerabat Diraja telah berkenan menerima pesembah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia berupa Replika Pedang Sayyidina Ali bin Abi Thalib sebagai Pesambah. Pedang yang bernama Zulfikar adalah milik Sayyidina Ali bin Abi Thalib, Khalifah Islam yang keempat. Pedang tersebut pada mulanya dimiliki oleh Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam semasa Peperangan Badar’.

Pedang tersebut telah diberikan kepada Sayyidina Ali bin Abi Thalib semasa peperangan Uhud di dalam menegakkan ugama Islam. Pedang Bermata dua ini memiliki simbol jihad dan keberanian Sayyidina Ali bin Abi Thalib di dalam menegakkan kebenaran. Replika Pedang tersebut dipilih sebagai pesambah kerana Pedang tersebut melambangkan keberanian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Khalifah Islam yang bertanggungjawab di dalam menegakkan keadilan, kebenaran dan undang-undang Islam.

Sebelum berangkat ke upacara Majlis Santap, Baginda dan Duli Yang Teramat Mulia serta Ahli-Ahli Kerabat Diraja berkenan untuk menerima Junjung Ziarah dari Pegawai-Pegawai Tidak Bertauliah Kanan ABDB dan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan.