TANAH JAMBU, Isnin 26 Mei 2014 – Ke arah mendukung usaha berterusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya dalam memastikan Projek-Projek Rancangan Kemajuan Negara (RKN) berjalan dengan lancar dan sempurna, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi RKN ke-10, pagi tadi telah berkenan berangkat meninjau ke beberapa buah projek di Daerah Brunei dan Muara.
Aturcara keberangkatan lawatan kerja Duli Yang Teramat Mulia bermula di Tapak Projek Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kampong Tanah Jambu.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat dan Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Mohd Tawih bin Abdullah serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi RKN ke-10.
DYTM seterusnya disembahkan taklimat mengenai kemajuan Projek Akademi Pertahanan ABDB daripada Pemangku Pengarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja di Kementerian Pertahanan, Yang Mulia Dayang Hajah Marliyana bte Haji Abdullah Fung.
Perbelanjaan keseluruhan projek ini dianggarkan menyecah BND$106 juta. Pengendalian projek ini dibahagikan kepada 4 pakej: Pakej 01 telah mula dikendalikan pada 2 April 2013 dengan anggaran belanja BND$43,535,015.35; Pakej 02 telah mula dikendalikan pada 15 April 2013 dengan anggaran belanja BND$16,989,309.00; sementara Pakej 03 dan Pakej 04 masih menunggu perlantikan kontrak dan dianggarkan berjumlah BND$16 juta dan BND$4 juta. Juga, termasuk kerja-kerja pecah tanah yang bernilai anggaran BND$4.1 juta, pemasangan 11KV kabel letrik berjumlah anggaran BND$11 juta dan pembelanjaan yuran-yuran konsultan.
Visi Akademi Pertahanan ABDB ialah untuk menjadikan institusi ini sebagai pusat kecemerlangan bagi perkembangan profesionalisme Pegawai–Pegawai ABDB dan misi Akademi Pertahanan ABDB ialah untuk melatih, mendidik dan mengembangkan profesionalisme Pegawai-Pegawai ABDB agar berupaya menghadapi cabaran-cabaran kerjaya tentera pada masa kini dan pada masa hadapan. Manakala objektif adalah sepeti berikut:
a. Menubuhkan Akademi Pertahanan sebagai institusi pengajian kelas antarabangsa;
b. Mempromosikan Akademi Pertahanan di peringkat luar Negara dan untuk mengukuhkan hubungan dengan lain-lain Akademi Pertahanan yang berprestij;
c. Merancang, mengurus dan memenuhi keperluan-keperluan latihan Pegawai-Pegawai ABDB dengan cara yang sistematik;
d. Berusaha untuk mengujudkan pengalaman pembelajaran yang positif kepada semua penuntut Akademi Pertahanan; dan
e. Merencanakan laluan pengiktirafan rasmi kepada semua penuntut Akademi Pertahanan.
Sejak ditubuhkan, Akademi Pertahanan bertapak di Perkhemahan Sungai Akar secara sementara. Walau bagaimanapun, tertakluk kepada progres projek pembinaan bangunan baru Akademi Pertahanan ABDB yang dijangka siap pada bulan Oktober 2014.
Dengan adanya bangunan baru tersebut, Akademi Pertahanan ABDB dijangka akan dapat meningkatkan lagi tahap latihan dan pembelajaran bagi Pegawai-Pegawai ABDB selaras dengan Wawasan 2035. Perancangan ini setentunya akan mempersiapkan bakal-bakal pemimpin tentera generasi baru untuk menghadapi cabaran benteng pertahanan negara.



