BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 24 Mei 2014 – Impian Kementerian Pertahanan untuk muncul juara keseluruhan Pesta Sukan Kementerian-Kementerian 2014 tercapai selepas cemerlang mengumpul 23 pingat emas, 19 perak dan 27 gangsa dengan kutipan keseluruhan 69 pingat.

Pencapaian tersebut sekali gus meleburkan hasrat Kementerian Pendidikan untuk mengekalkan kejuaraan musim lalu selepas sekadar mengumpul 18 emas, 12 perak dan 21 gangsa untuk menduduki tempat kedua.

Sementara itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) pula menduduki tangga ketiga dengan mengutip 31 pingat keseluruhan (17 emas, 8 perak dan 6 gangsa).

Sebelum pesta berkenaan melabuhkan tirai, tiga acara akhir acara olaharaga 1000 meter jalan kaki VIP lelaki, 4X100 ‘A’ Lelaki dan 4X200 campuran lelaki telah diadakan.

Acara 1000 meter jalan kaki, pingat emas milik Dr. Sufri bin Haji Ladi (Kementerian Perhubungan), perak disandang oleh Yukhairi bin Yahya (Kementerian Kewangan) dan gangsa diraih oleh Roslan bin Haji Tajaan (Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, KHEDN).

Bagi 4X100 meter lelaki, Jabatan Perdana Menteri meraih pingat emas, Kementerian Pertahanan menyandang perak dan KHEDN mengutip gangsa.

Dalam acara 4X200 campuran lelaki KKBS meraih emas, Kementerian Pembangunan mengutip perak dan Kementerian Pertahanan memenangi gangsa.

Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat menyampaikan piala juara keseluruhan, naib juara dan tempat ketiga.

Tetamu kehormat itu juga menyampaikan sijil-sijil penghargaan dan cenderamata kepada persatuan-persatuan sukan yang mengendalikan.

Pesta kali ini mempertandingkan sepuluh acara sukan Futsal, Olahraga, Gasing, Lumba Basikal (lebuhraya 90km), Petanque, Sepak Takraw, Tarik Kalat Dalam Dewan, Bowling, Badminton dan Bola Jaring.

Kedudukan keseluruhan pingat-pingat menyaksikan tempat keempat JPM (9 emas, 16 perak dan 16 gangsa), kelima Kementerian Pembangunan (8 emas, 12 perak dan 9 gangsa), keenam KHEDN (8 emas, 7 perak dan 12 gangsa), ketujuh Kementerian Kesihatan (4 emas, 5 perak dan 9 gangsa), kelapan KPSSU (3 emas, 4 perak dan 2 gangsa), kesembilan KHEU (2 emas, 6 perak dan 2 gangsa), kesepuluh Kementerian Perhubungan (2 emas, dan 3 gangsa), kesebelas Kementerian Kewangan (5 perak dan 2 gangsa) dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan tidak menguitp sebarang pingat di posisi ke-12.

Pesta Sukan Kementerian-Kementerian dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan sejak tahun 1991 dengan hasrat membentuk para pegawai dan kakitangan kerajaan untuk cergas, sihat, kukuh jasmani, berdisiplin dan berdikari.